MALAYSIA

Kerajaan tidak campur tangan keputusan komersial, kekal integriti pasaran - PM Anwar

Khalis Khadir 21/10/2025 | 07:16 MYT
Anwar (kiri) berkata semua keputusan komersial adalah tanggungjawab penuh pihak yang terlibat, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan terhadap prinsip tadbir urus baik. -Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam keputusan komersial sebagai langkah mengekalkan integriti pasaran dan profesionalisme dalam landskap korporat serta ekonomi negara.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau dan kabinet tidak akan campur tangan dalam keputusan komersial bagi mengekalkan integriti pasaran dan profesionalisme korporat.
  • Beliau menyatakan bahawa keputusan perniagaan perlu berpaksikan kepada merit dan realiti pasaran, bukan pengaruh politik, selaras dengan prinsip tadbir urus baik.
  • Pendekatan ini dilihat penting untuk memastikan urusan pasaran dijalankan secara telus dan profesional, serta mengekalkan daya saing Malaysia di peringkat global.


Beliau berkata sebarang keputusan perniagaan seharusnya berpaksikan kepada merit, keberkesanan, dan realiti pasaran, bukannya mengikut pengaruh politik.

"Ya, kerajaan menyokong transformasi pelbagai sektor seperti teknologi baharu, inisiatif hijau, dan program kebajikan, tapi ia tidak akan dijadikan alasan untuk melindungi kepentingan peribadi atau pihak tertentu.

“Saya tidak campur tangan dalam keputusan komersial, dan tiada seorang pun daripada ahli kabinet saya patut campur tangan. Keputusan komersial sepenuhnya adalah milik anda,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sesi temu bual In Conversation with Anwar Ibrahim selepas merasmikan Forum Ilmu Permodalan Nasional Berhad (PNB) 2025, di sini, pada Selasa.

Jelas beliau, pendekatan itu adalah salah satu transformasi bagi memastikan urusan pasaran dijalankan secara telus dan profesional.

Dalam sesi itu, Anwar berkata pengurusan yang telus dan profesional amat penting untuk mengekalkan daya saing Malaysia di arena global, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

Beliau turut menekankan bahawa semua keputusan komersial adalah tanggungjawab penuh pihak yang terlibat, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan terhadap prinsip tadbir urus baik.






#Anwar Ibrahim #PNB #campur tangan dalam keputusan komersial #integriti pasaran #profesionalisme korporat