Skip to main content

Malaysia

Kerajaan tidak pernah abai, pinggir nasib M40 - PM

MELAKA, 7 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai langkah fiskal telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan M40 terpelihara, termasuk penstrukturan semula cukai dan pengekalan bantuan langsung persekolahan. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk tidak meminggirkan golongan M40, sekali gus menepis kebimbangan kelompok pendapatan menengah itu terlepas daripada perhatian dasar kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai langkah fiskal telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan M40 terpelihara, termasuk penstrukturan semula cukai dan pengekalan bantuan langsung persekolahan.

"Ada kebimbangan tentang nasib M40... saya jelaskan, sejak tahun 2023 kita telah menurunkan kadar cukai pendapatan dua peratus untuk manfaat M40. Ini menyebabkan kita kehilangan hasil... termasuk peningkatan gaji penjawat awam," kata beliau.

Beliau turut menambah bahawa Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 terus disalurkan kepada semua murid tanpa mengira kategori pendapatan ibu bapa.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai keadaan ekonomi semasa, beliau menjelaskan bahawa pelbagai inisiatif rakyat ini dapat dilaksanakan susulan kestabilan fiskal dan pemulihan ekonomi negara yang kukuh.

Menurut beliau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026, manakala kedudukan daya saing global negara melonjak ke tangga ke-15 di samping prestasi ringgit yang terus mengukuh.

Hasil kekuatan ekonomi tersebut, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan penyelenggaraan bagi semua jenis sekolah ditingkatkan sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.

Beliau menegaskan, peruntukan berkenaan diagihkan secara adil merangkumi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah agama, tahfiz, pondok serta sekolah pendidikan khas, dengan kerja pembaikan prasarana digerakkan seawal bulan depan.

"Menteri Pendidikan akan mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah yang diteliti. Setiap perancangan pembaikan prasarana bermula bulan depan, kita tidak boleh tertangguh sehingga terlalu lama," tegas beliau.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada enam ikhtiar segera yang dikuatkuasakan bermula 1 September 2026, yang turut membabitkan kelayakan subsidi petrol BUDI 95 sehingga 300 liter sebulan, program Kecerdasan Buatan (AI) percuma untuk belia, peruntukan RM1 bilion pendigitalan kesihatan, dan kelonggaran ambang e-invois PMKS sehingga RM3 juta.

Must Watch Video

Advertisement