Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Kerajaan tidak pernah persoal MA63, hak 40 peratus hasil Sabah - Zambry

Irfan Faruqi 18/11/2025 | 15:54 MYT
Zambry ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Selasa. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan kerajaan sentiasa komited untuk menyempurnakan rundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tidak sama sekali menafikan hak 40 peratus hasil untuk Sabah.


Ringkasan AI
  • Kerajaan komited dalam rundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa menafikan hak 40 peratus hasil untuk Sabah.
  • Rundingan antara kerajaan persekutuan, Sabah, dan Sarawak diteruskan dengan serius oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
  • Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berlangsung untuk kaji semula pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan.


Menurutnya, perkara itu dibuktikan melalui rundingan berterusan antara pihak kerajaan Persekutuan bersama wilayah Sabah dan Sarawak.

"Kita tidak pernah persoalkan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, sangat serius untuk pastikan semua perbincangan berkaitan diteruskan.

“Kita tidak pernah tolak sama sekali. Sekarang hangat dibincangkan mengenai hak 40 peratus hasil Sabah, yang dibimbangi akan dirayu. Rayuan yang dimaksudkan bukan mengenai penghakiman terhadap pemberian 40 peratus. Sebaliknya rayuan mengenai sebahagian penghakiman yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Pada Isnin, mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah berlangsung bagi mengkaji semula pemberian khas kepada negeri itu berdasarkan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Pada hari sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memperincikan terma rujukan serta kaedah berkaitan pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah.

Fadillah berkata, jawatankuasa itu perlu menentukan terma rujukan serta kaedah pemberian berkenaan dalam tempoh terdekat ini, iaitu lebih awal sebelum tamat tempoh berbaki 60 hari lagi seperti ditetapkan mahkamah sebelum ini.


[LANGSUNG] #AgendaAWANI | IPT Perhebat Bakat-Bakat Sabah | 18 Nov 2025




#Agenda Awani #Anwar Ibrahim #kerajaan Persekutuan #Perjanjian Malaysia 1963 #Zambry Abd Kadir #Sabah