Kerajaan tidak pinggir kebajikan kaum India - PM Anwar

Bernama
April 14, 2024 12:45 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama para penerima anugerah DrAmbedkar pada Konvensyen Antarabangsa dan Majlis Sambutan Kelahiran Dr Ambedkar Yang Ke-133 Tahun Di Malaysia. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan kebajikan kaum India, malah pelbagai program telah dirangka bagi membantu memajukan komuniti itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata setiap program yang telah atau sedang dilaksanakan kerajaan bersifat universal dan meliputi kepentingan seluruh komuniti dalam negara bersesuaian dengan hasrat di sebalik konsep Malaysia MADANI.
Menjadikan kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang sebagai contoh, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata isu yang sekian lama membelenggu negara itu diselesaikan kerajaan tanpa meminggirkan mana-mana kaum, termasuk komuniti India.
" ... saya tak peduli sama ada dia tauke Melayu, Cina atau India berjaya atau tidak, saya peduli kepada majoriti yang berada di bawah.
"Sebab itu saya kata yang pertama noktahkan kemiskinan dan kebetulan dari segi jumlah (ialah) orang Melayu, tapi dari segi nisbah di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang paling banyak mendapat manfaat ialah masyarakat India, saya tidak lihat dari segi kaum kalau mereka miskin tegar, mereka harus dibantu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa ke-5 dan Sambutan Hari Kelahiran Dr Ambedkar ke-133 tahun dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #kebajikan #kaum india #Kerajaan Perpaduan