KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 22 lokaliti di Sabah dan satu di Pahang.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, semua PKPD itu akan bermula pada 1 Ogos dan berakhir pada 14 Ogos depan.

Jelasnya, PKPD di Sabah meliputi enam lokaliti di Tawau, termasuk Bandar Sabindo, Kg Rancangan Sg Tongkang, Taman Kukusan, Batu 2 Lrg Habib Abdul Rahman Jln Apas, PPR Sri Semarak, dan Taman Berjaya; lima lokaliti di Keningau, termasuk Kampung Bariawa Laut, Kampung Baitah, Kampung Panagatan Ulu, Kampung Kota Ayangan dan Rumah Kongsi Jutaya Lingkudau; tiga lokaliti di Kudat, termasuk Kampung Seri Aman, Taman Orkid dan Kampung Damaran Banggi.

Selain itu PKPD di Sabah turut melibatkan tiga lokaliti di Sandakan iaitu Kampung Lupak Meluas Darat, Kampung Sundang Laut dan Flat Taman Sejati; dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Taman Sempelang, Sembulan serta Kampung Sembulan Tengah dan Lama.

PKPD Sabah juga meliputi lokaliti Kampung Tempasuk 1, Kota Belud, Kampung Tengah Padang, Putatan dan Kampung Babagon, Penampang.

Sementara PKPD di Pahang adalah di Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab, Temerloh.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengumumkan pelanjutan PKPD dari 1 sehingga 14 Ogos di tiga lokaliti dalam daerah Kuantan, Pahang meliputi Taman Tas dan Pandan, Taman Indera Sempurna serta Taman Impianku.

Ia turut dilanjutkan di Kampung Siansai Dundau, Kota Belud, Sabah.

Selain itu 19 lagi lokaliti yang ditamatkan PKPD pada 31 Julai ini meliputi 10 lokaliti dalam daerah Kuantan termasuk Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sg Derhaka, Kempadang, Sg Soi, Kampung Pahang, Taman Seri Inderapura, Sg Isap dan Lorong Seri Teruntum; Taman Chengal, Temerloh dan Kampung Belangkap, Rompin, Pahang.

PKPD juga diumumkan tamat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan, Kudat; Kampung Naruntung, Pitas; Kampung Pinalobuh Bukid, Kota Belud dan Ladang Sawit KLK Lungmanis dan Perumahan Kilang, Mukim Silabukan, Lahad Datu, Sabah.

Sementara di Sarawak, PKPD ditamatkan di Kampung Pasir Hilir, Lundu, Kuching dan Kampung Garung, Kuching.

Satu lokaliti di Selangor yang ditamatkan PKPD adalah di Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Hulu Langat.

Dalam perkembangan berasingan, Hishammuddin menjelaskan sebanyak 67 premis diarahkan tutup serta merta dalam 93,420 pemeriksaan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 19,406 anggota bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di seluruh negara pada Khamis.

Sementara 222 individu dikompaun kerana ingkar SOP dan enam direman kerana kesalahan sama.

Selain itu jelas Hishammuddin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 810 pemantauan khas harian ke atas 10 jenis bekalan barangan keperluan asas terdiri daripada peruncit (643), pemborong (135) dan pengilang (32) pada Khamis.

KPDNHEP juga telah melakukan 1,848 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, kesemua premis mematuhi SOP.

Pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.