BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan ternakan kerang di Kuala Juru, Pulau Pinang mati disebabkan pencemaran selut dari projek mendalamkan muara sungai.

Pengarahnya, Shukri Muslim berkata, pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu dan turut meminta Jabatan Perikanan negeri menjalankan siasatan  bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kerang.

Beliau berkata sebarang tindakan susulan akan dimuktamad selepas hasil siasatan diperolehi daripada pihak Perikanan.

"Kita terima aduan berkenaan kerang dikatakan mati dan tidak sempurna. Ini kita telah serahkan kepada pihak Jabatan Perikanan sama ada benarkah andaian bahawa projek JPS ini (hinggakan) kerang itu mati," ujar Shukri.



Menurutnya, projek mendalamkan muara sungai Juru bermula September tahun lepas dan dijangka siap Khamis ini bagi mengatasi masalah sungai cetek di kawasan berkenaan.

Jelasnya, kali terakhir projek mendalamkan sungai di muara berkenaan dilakukan sekitar tahun 2003.

"Memang kita ada kenal pasti beberapa pemternak kerang tetapi mengikut apa yang telah kita lakukan di tapak lokasi, kesemuanya telah bersetuju bekerjasama dengan kita untuk beri laluan kepada projek ini. Projek ini bukan untuk kepentingan JPS sendiri tapi untuk orang di kawasan sekitar muara Sungai Juru," ujarnya.

BACA: Kerang mati dan busuk, penternak dakwa kerugian RM700,000

Shukri berkata, pihak JPS juga telah mengadakan rundingan dengan kumpulan penternak di Kuala Juru sebelum ini.

Tegasnya, kawasan sungai berkenaan cetek dan perlu didalamkan bagi memberi kemudahan pergerakan bot nelayan di situ selain bagi mengatasi masalah banjir akibat sungai cetek.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Noraisyah Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan di kawasan ternakan kerang hari ini.

Jelasnya, kajian lebih terperinci akan dilakukan pihaknya bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kerang berkenaan sama ada disebabkan oleh selut atau sebaliknya.


Pencemaran Selut | Kerang rosak, penternak rugi hampir RM700,000

Penternak kerang di Kuala Juru, Pulau Pinang sebelum ini mendakwa kerugian hampir RM700,000 selepas kerang ternakan mereka tidak dapat dipasarkan selepas kerang menjadi busuk seterusnya mati akibat pencemaran selut.

Menurut Pengerusi Persatuan nelayan Unit B, Kuala Juru, Bahari Edin, ternakan yang diusahakan  di kawasan seluas 28.33 hektar sejak Mac tahun lepas itu sepatutnya dituai pada bulan ini namun malangnya semua kerang sudah mati.