MALAYSIA

Kerani akaun hilang wang simpanan lebih RM500,000 ditipu pelaburan tidak wujud

Bernama 14/09/2025 | 06:45 MYT
ACP Raub berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menawarkan pelaburan dengan keuntungan hingga lima peratus daripada modal. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Seorang kerani akaun wanita kerugian RM527,681.17 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.


Ringkasan AI
  • Seorang kerani akaun wanita kerugian RM527,681.17 selepas terpedaya dengan pelaburan permainan pertaruhan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lima peratus.
  • Mangsa membuat beberapa transaksi ke sembilan akaun berbeza, selepas menerima keuntungan awal RM1,000, sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan polis.
  • Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati, semak latar belakang pelaburan melalui portal Semak Mule dan hubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan penipuan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mangsa berusia 46 tahunitu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menawarkan pelaburan permainan pertaruhan dengan keuntungan hingga lima peratus daripada modal dikeluarkan, kira-kira 2.30 petang pada 12 Jun lepas, di Taman Desa Tebrau.

Mangsa yang berminat untuk menyertai kemudian mendaftar melalui pautan yang diberikan suspek dan membuat pindahan wang pertama sebanyak RM10,000, sebelum menerima keuntungan RM1,000 selepas mencuba permainan itu sebanyak dua kali.

"Antara 14 Julai hingga 4 Sept, mangsa terperdaya dan melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM527,681.17.

"Selepas membuat pembayaran, mangsa masih diminta membayar tambahan kononnya bagi membolehkan keuntungan dikeluarkan, sebelum akhirnya menyedari ditipu dan membuat laporan polis pada 12 Sept," katanya dalam satu kenyataan.

Raub berkata siasatan awal mendapati sumber kewangan yang digunakan daripada simpanan mangsa sendiri.

Semakan melalui sistem Sistem Risikan Jenayah Komersial (CCIS) mendapati nombor telefon digunakan suspek tidak mempunyai rekod penipuan, namun disyaki disalah guna untuk tujuan penipuan.

"Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan butiran akaun bank terlibat, merekod keterangan pihak bank, membuat semakan bersama pihak telco untuk mengenal pasti pemilik nombor telefon, serta mengesan dan menangkap suspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, dengan sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Polis Johor Bahru Selatan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati menerima tawaran pelaburan melalui media sosial atau WhatsApp, membuat semakan di portal rasmi Semak Mule (https://semakmule.rmp.gov.my) sebelum membuat sebarang pembayaran.

Masyarakat diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji pulangan lumayan dalam tempoh singkat, dan segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997 untuk melaporkan sebarang aktiviti penipuan.

-- BERNAMA




#kerani akaun wanita kerugian #mangsa penipuan pelaburan tidak wujud #scam #Johor Bahru