GEORGE TOWN: Perkhidmatan kereta api funikular di Bukit Bendera mengalami gangguan menyebabkan seramai 180 pengunjung termasuk pelancong terkandas selama dua jam pada Jumaat.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) berkata, perkhidmatan di pusat peranginan itu mengalami kerosakan pada jam 2.10 hingga 4.15 petang.

"Susulan kerosakan itu, perkhidmatan kereta api funikular di Bukit Bendera telah mengalami gangguan selama dua jam. Seramai 180 pengunjung termasuk pelancong terkandas.

"Bagaimanapun, ia beroperasi semula seperti biasa selepas dua jam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PBBPP menjelaskan, kejadian berlaku apabila berlaku masalah pada sistem yang kemudian mengaktifkan mekanisme keselamatan.

Katanya, ia menyebabkan sistem brek funikular dihidupkan agar menghalang kereta api itu daripada bergerak.

"Kita telah berusaha untuk membawa semua pengunjung yang terkandas ke stesen bawah oleh pasukan operasi PBBPP dengan kerjasama servis jip Persatuan Penduduk Bukit Bendera.

"Kami memohon maaf dan berterima kasih kepada semua pengunjung serta penduduk di atas kesabaran mereka," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PBBPP, Datuk Cheok Lay Leng berkata, kerosakan itu bukan disebabkan brek trek tidak berfungsi, sebaliknya sistem telah mengaktifkan mekanisme keselamatan.

Ketika kejadian, katanya, sebahagian pengunjung berada di dalam kereta api dan sebahagian lagi sedang beratur dari stesen atas untuk turun ke bawah.

"Kita telah memindahkan mereka mengikut prosedur kecemasan ke stesen terdekat atau tempat paling selamat untuk mengenal pasti selain menyelesaikan masalah tersebut.

"Pengunjung yang telah membeli tiket tetapi tidak dapat sempat untuk menikmati perjalanan pada Jumaat, boleh kembali semula pada Sabtu untuk menaiki kereta api. Sekiranya mereka tidak mahu, kita akan mengembalikan semula wang mereka," ujarnya.

Artikel asal di Sinar Harian: Keretapi Bukit Bendera rosak, 180 pengunjung terkandas