NATIONAL
Kereta Api Laju Haramain tawar hampir 2 juta tempat duduk untuk musim Haji 1446h
Kereta Api Haramain memainkan peranan penting dalam pergerakan jemaah sebagai sebahagian daripada sistem mobiliti moden Kerajaan Arab Saudi. - Gambar/ Bernama
JEDDAH: Perkhidmatan Kereta Api Arab Saudi (SAR) menyediakan hampir dua juta tempat duduk bagi jemaah yang menggunakan Perkhidmatan Kereta Api Laju Haramain sempena musim Haji 1446 Hijrah, peningkatan sebanyak 25 peratus atau 400,000 tempat duduk berbanding musim lalu.
Ringkasan AI
- Perkhidmatan Kereta Api Arab Saudi (SAR) menyediakan hampir dua juta tempat duduk bagi jemaah Haji 1446 Hijrah menggunakan Perkhidmatan Kereta Api Laju Haramain, peningkatan sebanyak 25% atau 400,000 tempat duduk berbanding musim lalu.
- Sepanjang musim Haji tahun ini, 4,768 perjalanan dijadualkan antara 1 Zulkaedah hingga 20 Zulhijah, merentasi laluan sepanjang 453 kilometer yang menghubungkan lima stesen utama: Makkah, Madinah, Stesen Sulaimaniyyah di Jeddah, Stesen Bandar Ekonomi Raja Abdullah, dan Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz.
- Kereta Api Haramain, yang merupakan salah satu daripada sepuluh kereta api penumpang terpantas di dunia, beroperasi pada kelajuan sehingga 300 kilometer sejam dan menghasilkan pelepasan karbon sifar, menyumbang kepada matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah serta memastikan perjalanan yang lestari dan bermakna dari segi kerohanian.
Peningkatan itu membuktikan kesiapsiagaan penuh SAR untuk memberi perkhidmatan kepada jemaah haji mengikut piawaian keselamatan, kecekapan dan kualiti tertinggi, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Sepanjang musim Haji tahun ini, sebanyak 4,768 perjalanan dijadualkan antara 1 Zulkaedah hingga 20 Zulhijah.
Perkhidmatan Kereta Api Laju Haramain yang merentasi laluan sepanjang 453 kilometer menghubungkan lima stesen utama: Makkah, Madinah, Stesen Sulaimaniyyah di Jeddah, Stesen Bandar Ekonomi Raja Abdullah dan Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz bagi memberi pengalaman pengangkutan yang selesa dan lancar antara dua kota suci.
Kereta Api Haramain memainkan peranan penting dalam pergerakan jemaah sebagai sebahagian daripada sistem mobiliti moden Kerajaan Arab Saudi.
Ia merupakan kaedah pengangkutan terpantas antara Makkah dan Madinah, dengan masa perjalanan sekitar dua jam.
Sebagai satu daripada sepuluh kereta api penumpang terpantas di dunia, Kereta Api Haramain beroperasi pada kelajuan sehingga 300 kilometer sejam.
Ia memiliki 35 buah tren, setiap satu dengan kapasiti 417 tempat duduk dan menghasilkan pelepasan karbon sifar, menjadikannya penyelesaian mesra alam yang turut membantu mengurangkan tekanan pada jaringan jalan raya serta meningkatkan kualiti pengangkutan jemaah.
SAR turut menyumbang ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi, yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah serta memastikan perjalanan yang lestari dan bermakna dari segi kerohanian.
-- BERNAMA