NATIONAL
Kereta dinaiki dua beranak terjunam dalam kolam kumbahan
Kenderaan dinaiki dua beranak terbabas lalu terjunam dalam kolam kumbahan di Taman Kingfisher, Likas, Kota Kinabalu. -Sinar Harian
KOTA KINABALU: Dua beranak nyaris lemas apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke dalam kolam kumbahan di Taman Kingfisher di sini pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Dua beranak nyaris lemas apabila kereta mereka terbabas dan terjunam ke dalam kolam kumbahan di Taman Kingfisher, Likas.
- Orang awam membantu menyelamatkan mangsa dengan menggunakan kayu untuk mereka berpaut, dan kedua-dua mangsa berjaya keluar dari kereta.
- Operasi penyelamatan oleh pasukan bomba selesai setelah memastikan keadaan selamat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, wanita warga emas berusia 79 tahun dan anak lelakinya berusia 49 tahun berjaya diselamatkan orang awam keluar dari kolam tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.36 pagi dan seramai 10 anggota digegaskan ke lokasi tersebut.
"Menurut laporan, kemalangan melibatkan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang terbabas sendiri dan terjunam ke dalam kolam kumbahan tersebut.
"Semasa kejadian, beberapa orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut telah membantu dua beranak tersebut dengan menggunakan kayu untuk mereka berpaut.
"Mangsa warga emas berjaya keluar sendiri dari bahagian pintu belakang kereta manakala anaknya pula keluar menerusi tingkap bahagian pemandu dan kedua-duanya berpaut pada kayu untuk keluar dari kolam tersebut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Agustavia turut memaklumkan semasa kejadian, terdapat salah seorang anggotanya yang tidak bertugas ketika itu turut memberi bantuan kepada dua beranak tersebut.
"Salah seorang orang awam yang berada di lokasi dan membantu mangsa ialah anggota kita dari BBP Lintas iaitu Pegawai Bomba Kanan I Hasrulnizam Md Zain yang ketika itu bukan dalam tugasan.
"Kedua-dua mangsa ditenangkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi dan operasi ditamatkan pada jam 8.54 pagi selepas memastikan keadaan telah selamat," katanya. -Sinar Harian