MALAYSIA

Kereta langgar lori, pemandu tercampak jatuh jambatan 7 meter

Bernama 02/07/2025 | 03:50 MYT
Enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Indah dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.14 pagi Rabu. - Gambar/ JBPM
SHAH ALAM: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila tercampak ke dalam kawasan paya bakau selepas kereta dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Jalan Pelabuhan Barat Telok Gong, Pelabuhan Klang dekat sini awal pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 40 tahun tercampak ke dalam paya bakau selepas kereta Perodua Aruz yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Jalan Pelabuhan Barat Telok Gong, Pelabuhan Klang.
  • Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Indah tiba di lokasi pada jam 2.14 pagi dan mendapati mangsa tercampak dari jambatan setinggi 25 kaki ke kawasan paya.
  • Operasi menyelamat tamat pada jam 4.12 pagi dan mangsa yang mengalami cedera ringan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.


Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Indah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.14 pagi.

"Sejurus tiba didapati kemalangan itu melibatkan dua kenderaan, iaitu kereta jenis Perodua Aruz telah melanggar sebuah lori... Pemandu kereta tercampak keluar dari kawasan kemalangan iaitu jambatan setinggi 25 kaki (7.62 meter) sebelum jatuh ke dalam kawasan paya bakau," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata operasi menyelamat tamat kira-kira dua jam kemudian selepas mangsa berumur 40 tahun yang mengalami cedera ringan itu berjaya dikeluarkan pada 4.12 pagi, dan diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA



#kemalangan lori #pemandu jatuh jambatan #Pelabuhan Klang #bomba