Kereta peronda terbakar di LPT2, dua anggota polis nyaris maut

Astro Awani
Disember 23, 2022 22:40 MYT
Insiden berlaku di kilometer 381.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, di sini, pada Jumaat petang. -Astro AWANI
DUNGUN: Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu nyaris maut apabila kereta peronda dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba.
Insiden berlaku di kilometer 381.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, di sini, pada Jumaat petang.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Khairul Ilmi Mohd Akhir berkata, kereta peronda polis itu musnah 100 peratus.
Menurutnya, ketika kejadian, kereta peronda itu dalam perjalanan menghala arah Ajil, Hulu Terengganu.
Bagaimanapun, ia secara tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum terbakar.
Kedua-dua anggota berkenaan sempat keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.
Mereka kemudiannya memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Khairul Ilmi berkata, pihaknya bertindak pantas dan kebakaran berjaya dipadamkan anggota bomba dalam tempoh singkat.
Punca kejadian dan taksiran kerugian masih dalam siasatan.
#kereta peronda polis terbakar #Lebuhraya Pantai Timur 2 #LPT2 #Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu