MANJUNG: Seorang lelaki cedera parah akibat tersepit setelah kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah treler berhampiran lampu isyarat Kampung Aceh, di sini, lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.22 tengah malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati nahas membabitkan kereta jenis Proton Wira dan treler.

"Didapati kereta Proton Wira telah melanggar belakang treler tersebut dan menyebabkan pemandu kereta itu tersepit dan mengalami kecederaan parah.

"Manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada awal pagi Ahad.

Menurut kenyataan itu lagi, anggota bomba membuat rawatan awal kepada mangsa dan seterusnya mangsa dibawa ke hospital menaiki ambulans oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Adde Noor Othman itu tamat pada jam 1.22 pagi.