SEPANG:Suasana di lokasi menurunkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, cemas seketika hari ini apabila sebuah kereta jenis Range Rover secara tiba-tiba terbakar.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun, terbakar di bahagian enjin selepas beliau memberhentikan kenderaan di kawasan itu, bagi menghantar anak saudaranya yang akan berlepas ke Riyadh, Arab Saudi.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman berkata, anggota trafik KLIA yang bertugas telah membantu mengawal kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api, sementara menunggu bantuan daripada bomba.

Beliau berkata kira-kira 15 minit kemudian, anggota Bomba KLIA serta Airport Fire Rescue Services (AFRS) tiba, dan berjaya memadamkan kebakaran.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh AFRS dan Bomba KLIA terhadap kenderaan itu mendapati, punca kebakaran adalah disebabkan berlakunya litar pintas yang bermula dari kotak fius kenderaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Imran berkata tiada unsur khianat dalam kejadian yang tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan itu, dan pemilik kenderaan juga telah membuat laporan berhubung kejadian tersebut.

"Syukur tiada kemalangan jiwa yang berlaku, namun lokasi tersebut ditutup sementara untuk keselamatan semua. Syabas kepada semua pihak yang terlibat dan tindakan pantas anda semua amatlah dikagumi dan anda memang terbaik," kata Malaysia Airports menerusi laman Twitter rasminya.

-- BERNAMA