IPOH: Berbusana tradisional daripada pelbagai kaum serta etnik serta ‘berjoget lambak’ dengan berlatarbelakangkan lagu-lagu rakyat antara pengisian program Keretapi Sarong 2023 yang diadakan di sini, pada Sabtu.

Acara ‘flash mob’ atau persembahan kilat berkumpulan yang dianjurkan bersempena dengan Hari Malaysia itu disertai lebih 500 peserta daripada pelbagai usia dan latar belakang bangsa.

Malah, program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LOCCO dan Kelab Sosial Ipoh (ISC) yang mengangkat tema 'etnik' itu turut berjaya mengumpulkan peserta dari Kedah dan Pulau Pinang.

Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LOCCO dan Kelab Sosial Ipoh (ISC) yang mengangkat tema 'etnik' itu turut berjaya mengumpulkan peserta dari Kedah dan Pulau Pinang. - Foto Astro AWANI

Kakitangan swasta, Zamrut Sulaiman, 41, berkata dia dan enam ahli keluarga berminat untuk menyertai Keretapi Sarong selepas melihat kemeriahan acara sama yang diadakan di Kuala Lumpur melalui laporan media massa, pada tahun-tahun lalu.

“Sebelum ini saya melihat program ini diadakan di Kuala Lumpur dan ia semakin meriah pada setiap tahun. Kebetulan suami cuti, kami ambil peluang bawa ahli keluarga sambut Hari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Keretapi Sarong 2023 di pekarangan KTM Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada Sabtu.

Program Keretapi Sarong 2023 di pekarangan KTM Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada Sabtu. - Foto Astro AWANI

Zamrut mengenakan pakaian tradisional Melayu, sementara suami, Mohd Noorsaili Firdaus Sailillah, 41, mengenakan pakaian tradisional India kurta bersama ‘talappa’ manakala anak, Zayn Zidane, 6 bulan, memakai pakaian tradisional cina ‘Tang’.

Sementara empat ahli keluarganya yang lain turut mengenakan pakaian tradisional India sari dan busana Melayu tradisional.

Pada masa sama, Amanda Cheah Wei Hua, 30, turut hadir memeriahkan Keretapi Sarong 2023 di sini dengan memakai pakaian kebaya nyonya walaupun tidak mempunyai susur galur etnik berkenaan.

Guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Hing Hwa, Tambun itu berkata program sedemikian adalah acara terbaik bagi mana-mana rakyat Malaysia untuk memperagakan pakaian tradisional masing-masing.

“Pada tahun ini saya dapat menyertai acara ini bersama rakan-rakan selepas saya tidak dapat menyertainya pada tahun lalu.

“Melalui acara seumpama ini, saya boleh memperagakan pelbagai pakaian tradisional. Misalnya walaupun saya berbangsa Cina, saya gemar untuk memakai pakaian kebaya,” ujarnya.

Pengasas Ipoh Social Club, Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi, berkata antara pengisian lain program Keretapi Sarong 2023  adalah nyanyian lagu patriotik, sesi cabutan bertuah dan penyampaian hadiah di Senja Coffee Bar yang terletak kira-kira 2 kilometer (km) dari KTM Ipoh.

“Saya mahu teruskan penganjuran Keretapi Sarong ini kerana ia adalah program yang mana sesiapa boleh hadir berkumpul dengan memperagakan pakaian tradisional seperti kain sarung dan batik mengikut kreativiti masing-masing,” katanya lagi.

Keretapi Sarong 2023 berlangsung serentak di Kuala Lumpur, Johor Baharu Kuala Terengganu serta di London, United Kingdom.

Program itu telah dimulakan sekitar pada tahun 2012 melibatkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung sama ada batik atau pelekat yang menjadi simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.