KUALA LUMPUR: Kerisauan kepada keselamatan siber dan kelemahan Application Programing Interface (API) terhadap pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) timbul sehari selepas ia dilancarkan, kata  Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin.

Khairil Nizam berkata, kerisauan ini wajar kerana PADU mendapat akses data daripada 445 institusi sektor awam seluruh negara termasuk kementerian, badan berkanun persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan.

Menurut pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas itu, kerajaan perlu memberi penjelasan terhadap beberapa persoalan yang timbul antaranya apakah akta yang menyokong PADU dan apakah polisi dan dasar yang menyokong PADU.

"Apakah garis panduan yang menyokong PADU, apakah ia boleh dikongsi kepada sektor swasta? Apakah kaedah yang digunakan untuk mengatasi masalah single point of failure apabila menggunakan centralised database?

"Apakah teknik-teknik keselamatan siber yang digunakan dalam sistem PADU? Dan adakah bidang kuasa Chief Government Security Officer (CGSO) termaktub dalam PADU?," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut meminta agar diberi penjelasan tentang jaminan kerajaan bahawa data yang diisi oleh rakyat dengan data sedia ada daripada beberapa agensi berkaitan yang lain adalah tepat seperti contoh pendapatan sampingan daripada sumber lain.

BACA: Lima masalah PADU boleh diatasi segera - Rafizi

Khairil menegaskan seharusnya keselamatan data peribadi perlu menjadi agenda utama oleh menteri terbabit kerana pelaksanaan ini dibuat sepenuhnya oleh penjawat awam.

Ujar beliau, PADU akan diterima dan disambut baik oleh semua pihak sekiranya masalah yang paling utama ini dan persoalan berbangkit yang lain dapat diselesaikan.