MALAYSIA

Kerja baik pulih Rumah Pam Kobat siap awal, bekalan air pulih berperingkat - PAIP

Bernama 10/07/2025 | 05:09 MYT
PAIP meneruskan bekalan alternatif di kawasan terjejas dan merakamkan penghargaan kepada pengguna serta SPAN atas kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh gangguan.
KUANTAN: Kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan semua instrumen penting di Rumah Pam Kobat, di sini, telah siap sepenuhnya pada pukul 9.30 pagi tadi, lebih awal daripada jangkaan asal.


Ringkasan AI
  • Kerja baik pulih di Rumah Pam Kobat telah siap sepenuhnya lebih awal daripada jangkaan, dan pam air mentah kembali beroperasi pada pukul 10.15 pagi.
  • Bekalan air mula dihantar ke Loji Rawatan Air Semambu dan pengguna akan menerima bekalan secara berperingkat bergantung kepada lokasi dan tekanan sistem agihan.
  • PAIP meneruskan bekalan alternatif di kawasan terjejas dan merakamkan penghargaan kepada pengguna serta SPAN atas kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh gangguan.


Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata pam air mentah di rumah pam berkenaan telah kembali beroperasi pada pukul 10.15 pagi, dan sumber air mentah kini dihantar ke Loji Rawatan Air (LRA) Semambu untuk diproses menjadi air terawat.

Beliau berkata beberapa tangki imbangan dan tangki simpanan telah dipenuhkan bagi membina tekanan serta aliran yang stabil, dan pengguna dijangka akan mula menerima bekalan air secara berperingkat.

"Pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada jarak premis pengguna serta tekanan dalam sistem agihan bekalan.

"Bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan yang masih terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Selain itu, Saiful Zaini turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air itu.

"Komitmen anda menjadi dorongan buat kami untuk melaksanakan tugas ini dengan lebih cekap dan pantas. Penghargaan turut diberikan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) atas bantuan dan pemantauan sepanjang operasi ini dijalankan," katanya.

Semalam, PAIP memaklumkan beberapa kawasan di daerah Kuantan akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama 12 jam bermula 11 malam tadi.

-- BERNAMA




#gangguan bekalan air #loji rawatan air #Rumah Pam Kobat #Pengurusan Air Pahang Berhad