KUALA LUMPUR: Kerja-kerja kecemasan membaiki paip pecah berhampiran Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang, telah siap dilaksanakan pada 2 petang hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan berkata bekalan air mula disalurkan pada 2.30 petang secara berperingkat ke 145 kawasan di wilayah Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 10 pagi, Rabu, 20 Okt (esok)," katanya.

Menurut Elina tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza, bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Beliau berkata Air Selangor masih menggerakkan bantuan bekalan air menerusi lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Katanya, para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki tersebut.

Orang ramai boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden tersebut, selain Pusat Bantuan di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-- BERNAMA