BUTTERWORTH: Kerja membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai telah dapat disiapkan hari ini.

Sungai Perai merupakan lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan selain kerja utama mengganti dua unit injap 1,200 milimeter (mm) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat pukul 7 malam ini kerja mengikat pengapit yang diubah suai pada saluran itu siap sepenuhnya dan kini ujian sedang dilakukan untuk meningkatkan secara beransur-beransur tekanan pam air terawat melalui bahagian yang dibaiki itu.

"Jika semuanya berjalan lancar, peringkat kedua pemulihan air mungkin bermula lewat malam ini atau awal pagi esok.

Mengikut jadual asal, peringkat kedua sepatutnya dimulakan pada 6 pagi 12 Jan membabitkan pemulihan air kepada 84 peratus atau 495,065 daripada keseluruhan 590,000 pengguna yang terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau," kata PBAPP.

Terdahulu, PBAPP memaklumkan kerja-kerja penggantian dua injap utama LRA Sungai Dua telah disiapkan pada 11 malam semalam, beberapa jam lebih awal dari yang dijadualkan.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi semalam namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam, manakala 157 kawasan membabitkan Daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

-- BERNAMA