Kerja pembersihan hutan Bukit Tabur dihentikan - Amirudin

Nailah Huda
September 11, 2021 08:30 MYT
Pertubuhan Pelindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) memuat naik beberapa gambar di Facebook yang menunjukkan sebuah jentolak di Bukit Tabur. Sumber: - Gambar ihsan Facebook PEKA
KUALA LUMPUR: Aktiviti pembersihan hutan dan pembangunan di Bukit Tabur dihentikan selepas siasatan pihak berkuasa mendapati kerja-kerja tersebut tidak diberi kelulusan.
Perkembangan itu dikongsikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selepas beberapa gambar aktiviti pembersihan di kawasan tersebut tular di media sosial.
Jelas Amirudin melalui Twitter, semakan lanjut oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Daerah Gombak mendapati aktiviti tersebut tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa.
“Pihak penguatkuasa telah turun ke lokasi tersebut untuk menghentikan aktiviti dan menyita jentera yang terlibat,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.
Pada masa yang sama, Amirudin menjelaskan bahawa penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga terbatas akibat jumlah petugas yang terhad.
“Ramai bangkit soal penguatkuasaan. PBT mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguatkuasa yang terhad dan kini tertumpu kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis dan sebagainya,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri mengalu-alukan aduan dari awam dan akan terus meningkatkan tahap penguatkuasaan.

Isu Bukit Tabur : Ramai bangkit soal penguatkuasaan. PBT mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguatkuasa yang terhad dan kini tertumpu kepada pematuhan SOP di premis dan sbgnya. Kerajaan Negeri mengalu-alukan aduan dari awam dan akan terus meningkatkan tahap penguatkuasaan. https://t.co/NgfAnyqsPq

— Amirudin Shari (@AmirudinShari) September 11, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Semalam, Pertubuhan Pelindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) memuat naik beberapa gambar di Facebook yang menunjukkan sebuah jentolak di kawasan Bukit Tabur yang digondol.
PEKA mempersoalkan kebenaran untuk menjalankan aktiviti pembersihan hutan di tanah tersebut, sedangkan pendaki tidak dibenarkan langsung memasuki kawasan berkenaan.
Sumber Facebook PEKAMALAYSIA
#Bukit Tabur #Amirudin Shari #hutan #pembersihan #Menteri Besar Selangor #MPAJ #PEKA