Kerja pembersihan tanah runtuh di Teluk Bahang dimulakan sejak pagi tadi

Bernama
November 7, 2016 07:10 MYT
Sebahagian Jalan Teluk Bahang runtuh berikutan hujan lebat pagi tadi. - Foto BERNAMA
Kerja-kerja pembersihan di kawasan tanah runtuh di Jalan Ujong Batu, Teluk Bahang dimulakan sejak 8.30 pagi tadi.
Lebih daripada 10 jentera berat membersihkan sisa runtuhan dan kira-kira 50 petugas dari pelbagai jabatan berada di tempat kejadian. Jentera berat turut digunakan untuk menebang pokok yang tercabut akibat tanah runtuh itu.
Kejadian itu menyebabkan sebahagian daripada jalan utama menghubungkan Teluk Bahang dengan pusat bandar, lumpuh.
Pengguna yang terkandas dari kedua-dua arah dipindahkan ke tempat lain dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya, Saleh Awang ketika ditemui Bernama berkata keadaan tanah sokongan di kawasan tanah runtuh itu adalah sangat lembut dan hujan berterusan menghalang kerja-kerja pembaikan.
"Kami berharap keadaan kembali normal menjelang petang ini," katanya. - Bernama
#Jalan Ujong Batu #sisa runtuhan #tanah runtuh #Teluk Bahang