MALAYSIA
Kerja pembinaan LRT Pulau Pinang bermula Januari 2026, diteruskan pada musim perayaan
Zairil berkata kerja pembinaan tidak dapat ditangguhkan dengan mengambil kira jadual pembinaan yang sangat padat bagi menyiapkan projek pada Disember 2031. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerja-kerja pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dijadualkan bermula Januari 2026 akan diteruskan seperti dirancang termasuk sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari dan sambutan Aidilfitri pada Mac.
Ringkasan AI
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata kerja pembinaan tidak dapat ditangguhkan dengan mengambil kira jadual pembinaan yang sangat padat bagi menyiapkan projek pada Disember 2031.
"Selain itu, sebarang kelewatan dalam mencapai sasaran penyiapan kerja juga akan mencetuskan klausa denda seperti termaktub dalam kontrak.
"Bagaimanapun, pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) pada musim perayaan akan disusun agar tidak menjejaskan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya dalam menghadapi peningkatan trafik," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) berhubung jangkaan kos LRT Pulau Pinang, tempoh kerja bermula serta sama ada kerja pembinaan ditangguhkan sehingga selepas Aidilfitri.
Zairil memaklumkan kontraktor Pakej Sivil Utama 1 (CMC1) SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) telah mengenal pasti tiga lokasi hotspot yang akan lebih terjejas akibat pembinaan projek LRT iaitu Jalan Magazine, persimpangan di hadapan Sunny Point di Batu Uban, dan Jalan Sultan Azlan Shah di Kawasan Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas.
Beliau berkata Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRTC) telah disyaratkan melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menyediakan TMP bagi setiap lokasi stesen bermula dari George Town hingga Permatang Damar Laut supaya langkah mitigasi dapat dianalisis dan dilaksanakan dengan lebih terperinci.
Menurut beliau, TMP terperinci yang disediakan oleh MRTC telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan pada 14 Okt lepas dan ia sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut lokasi untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas yang tidak dapat dielakkan akibat aktiviti pembinaan di jalan terlibat.
"Langkah-langkah mitigasi akan dilaksanakan oleh pihak MRTC untuk meminimumkan impak terhadap trafik sedia ada, memastikan pergerakan kenderaan kekal lancar dan meningkatkan kecekapan aliran trafik di kawasan-kawasan utama sepanjang tempoh pembinaan LRT Laluan Mutiara.
"Pihak MRTC juga akan menyediakan laluan alternatif dan pengalihan trafik yang akan diurus sebagai sebahagian daripada TMP yang diluluskan serta TMP ini juga akan disemak semula dan ditambah baik secara bulanan bagi perancangan masa depan," katanya.
LRT Laluan Mutiara yang melibatkan pembinaan laluan sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik, direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya serta menambah baik ketercapaian.
Pelan jajaran utama merangkumi laluan dari Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di Georgetown dengan perkhidmatan tren dijadualkan bergerak secara bergilir di sepanjang laluan.
-- BERNAMA
Ringkasan AI
- Kerja-kerja pembinaan projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang akan diteruskan seperti dirancang bermula Januari 2026, termasuk semasa perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri tanpa ditangguhkan.
- Kontraktor LRT telah mengenal pasti tiga lokasi hotspot yang terjejas akibat pembinaan, di antaranya Jalan Magazine, Batu Uban, dan Jalan Sultan Azlan Shah di Bayan Lepas.
- Langkah-langkah mitigasi trafik seperti TMP telah diluluskan dan sedang dilaksanakan untuk meminimumkan kesesakan dan meningkatkan lancar trafik sepanjang pembinaan LRT Laluan Mutiara.