[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
NATIONAL

Kerjasama dengan UKM, kini hanya 20 saat kesan dadah dalam sampel urin - Ayob Khan

Khalis Khadir 26/03/2025 | 04:55 MYT
Ayob Khan berkata, kecanggihan kit ujian biosensor untuk mengesan bahan terlarang menerusi mesin Tims-Tof ini merupakan hasil kerjasama PDRM dan UKM. - Foto Astro AWANI
BANGI: Dari dua hari, kini boleh mengesan dadah dalam sampel urin hanya sepantas 20 saat.

Ringkasan AI
  • Kit ujian biosensor yang dibangunkan oleh PDRM dan UKM mampu mengesan dadah dalam sampel urin hanya dalam 20 saat.
  • Projek ini melibatkan kerjasama antara PDRM dan UKM, serta membuka ruang kerjasama antarabangsa dengan agensi seperti Interpol dan UNODC.
  • Kementerian Dalam Negeri meluluskan peruntukan RM8.4 juta untuk program ini, dengan permohonan dana tambahan sebanyak RM80 juta untuk memastikan keberkesanan jangka panjang.

Kecanggihan kit ujian biosensor untuk mengesan bahan terlarang menerusi mesin Tims-Tof ini merupakan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, teknologi ini merupakan satu perkara baharu untuk mengesan jenis-jenis dadah.
“Kerjasama ini bukan hanya langkah pertama dilaksanakan di dalam negara, malah ia meliputi peringkat global. Sebanyak enam pakej kerja dirangka merangkumi aspek pembangunan teknologi, penyelidikan, forensik, data dan pembangunan keupayaan.
“Antara fokus utama adalah pembangunan strip ujian biosensor, pangkalan data forensik molekul dan analisis residu dadah dalam sistem kumbahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik di antara PDRM dan UKM, di sini, pada Rabu.
Ayob Khan menegaskan, ini petanda untuk memperkasa penguatkuasaan negara bagi meningkatkan kecekapan dalam mengenal pasti ancaman dadah dengan pendekatan saintifik.
“Program ini turut membuka ruang kerjasama antarabangsa yang lebih strategik, terutamanya dengan agensi seperti Polis Antarabangsa (Interpol) serta Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam menangani jenayah narkotik rentas sempadan,” ujarnya.
Tambahnya, sembilan pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah dipilih untuk menjalankan penyelidikan secara separuh masa di bawah bimbingan pakar dari UKM.
Kesemua pegawai diberi tanggungjawab sebagai pusat rujukan utama dan bakal diiktiraf sebagai pakar rujuk subjek (Subject Matter Expert, SME) dalam bidang narkotik.
"Satu Jawatankuasa Pemandu turut ditubuhkan bagi memantau keberkesanan program ini dan saya sendiri selaku Timbalan Ketua Polis Negara diberi amanah untuk mempengerusikan jawatankuasa berkenaan," katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut meluluskan peruntukan RM8.4 juta bagi menjayakan program ini.
Dana berkenaan penting bagi memastikan setiap pakej kerja dapat dilaksanakan dengan lancar serta menyumbang kepada hasil yang berimpak tinggi.
Ayob Khan menambah, bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, PDRM ingin memohon dana tambahan berjumlah RM80 juta.
#ayob khan mydin pitchay #PDRM #UKM #Dadah