MALAYSIA

Kerjasama institusi zakat, swasta perluas jaringan kebajikan Islam - Mohd Na'im

Bernama 05/11/2025 | 11:00 MYT
Mohd Na’im (empat,kanan) beramah mesra bersama jemaah umrah pada Pelepasan Umrah 1,000 Asnaf di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal 2 (KLIA2) hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Kerjasama antara institusi zakat negeri dan sektor swasta dalam membantu golongan asnaf menunaikan ibadah umrah, penting bagi memperluas jaringan kebajikan Islam di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.


Ringkasan AI
  • Kerjasama institusi zakat negeri dan sektor swasta bantu 1,000 Asnaf tunaikan ibadah umrah, perluas jaringan kebajikan Islam.
  • Inisiatif mencerminkan tanggungjawab sosial bersama kerajaan, institusi agama, dan pihak swasta.
  • Penggunaan teknologi dalam saluran data asnaf memperkukuh urusan kebajikan, pastikan bantuan disasarkan kepada yang benar-benar layak.


"Inisiatif seperti ini bukan sekadar memberi peluang menunaikan ibadah, tetapi juga mencerminkan semangat tanggungjawab sosial bersama antara kerajaan, institusi agama dan pihak swasta," katanya kepada pemberita selepas menyantuni bakal jemaah Umrah 1,000 Asnaf, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini hari ini.

Mohd Na'im turut menyifatkan inisiatif itu sebagai contoh bagaimana penggunaan teknologi mampu memperkukuh urusan kebajikan.

"Data asnaf yang disalurkan oleh institusi zakat negeri, memainkan peranan penting bagi memastikan bantuan disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata kempen Umrah 1,000 Asnaf yang dilancarkan pada Mac lepas, dilaksanakan dengan menggunakan data asnaf yang disalurkan institusi zakat negeri-negeri.

Beliau berkata ia membolehkan pemilihan peserta dibuat secara lebih tepat bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan mendapat peluang menunaikan ibadah tersebut.

-- BERNAMA






#institusi zakat negeri #golongan asnaf #tunaikan Umrah #Mohd Na'im Mokhtar