Skip to main content

Malaysia

Kerjasama Kerajaan Persekutuan, Sabah perkasa usahawan tempatan - Ewon

Ewon berkata, sokongan bersepadu antara kerajaan, komuniti perniagaan dan masyarakat penting dalam usaha menghebatkan perniagaan tempatan. - Gambar Astro AWANI
Ewon berkata, sokongan bersepadu antara kerajaan, komuniti perniagaan dan masyarakat penting dalam usaha menghebatkan perniagaan tempatan. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah perlu terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan, memperluas pasaran dan meningkatkan daya saing.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata sokongan bersepadu antara kerajaan, komuniti perniagaan dan masyarakat penting dalam usaha menghebatkan perniagaan tempatan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 yang berlangsung di Lintasan Deasoka, di sini, bermula 23 hingga 25 Oktober.

Menurutnya, sambutan menggalakkan masyarakat setempat terhadap penganjuran karnival itu mencerminkan semangat kerjasama yang perlu diteruskan bagi menyokong perkembangan komuniti usahawan, termasuk di Sabah.

“Terima kasih juga kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku penganjur yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk komuniti usahawan termasuk di Sabah.

“Inilah semangat yang kita mahukan, apabila kerajaan Persekutuan dan negeri, usahawan dan masyarakat bersama-sama menghebatkan perniagaan tempatan,” katanya.

Karnival berkenaan menjadi platform untuk mendekatkan pelbagai peluang keusahawanan kepada masyarakat, selain memberi ruang kepada orang ramai mengenali serta menyokong produk tempatan.

Sabah yang kaya dengan kepelbagaian produk dan keunikan tersendiri mempunyai potensi untuk melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing. Justeru, usaha memperluas akses kepada pembiayaan, bimbingan perniagaan dan pasaran lebih luas penting bagi membantu perusahaan tempatan berkembang secara mampan.

Dalam masa sama, penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan perlu terus digalakkan bagi melahirkan generasi usahawan baharu yang berani meneroka peluang dan memanfaatkan perubahan landskap perniagaan.

Ewon turut mengajak masyarakat, khususnya penduduk sekitar Kota Kinabalu, untuk hadir memeriahkan karnival berkenaan sehingga esok.

Karnival yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam itu dibuka secara percuma kepada orang ramai.

“Bawalah keluarga dan rakan-rakan. Mari kita sama-sama sokong produk tempatan dan usahawan kita.

“Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoi!” katanya.

Must Watch Video

Advertisement