MALAYSIA
Kerjasama kukuh Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan beri impak pencapaian luar biasa - Tuanku Muhriz
Tuanku Muhriz berkenan merasmikan Istiadat Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini hari ini.
SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah kerjasama kukuh Kerajaan Perpaduan di negeri ini memberikan impak membanggakan serta mencerminkan pencapaian luar biasa berdasarkan prestasi ekonomi tahun lepas.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Sembilan mencatatkan kutipan hasil tertinggi sebanyak RM636.17 juta pada tahun lepas, mengubah belanjawan defisit kepada surplus RM83.07 juta.
- Negeri Sembilan menarik pelaburan bernilai RM7.25 bilion, termasuk Projek F&N Agrivalley yang melibatkan 20,000 ekor lembu tenusu dan menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun.
- Negeri Sembilan memperkenalkan program N9 Fast Lane untuk mempercepatkan proses kelulusan bagi pelabur dan usahawan, serta Malaysia Vision Valley 2.0 sebagai pemangkin pembangunan industri.
Baginda bertitah buat julung kalinya tahun lepas kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil tertinggi yang berjumlah RM636.17 juta, berbanding sasaran RM520 juta iaitu pencapaian diperolehi untuk tahun ketiga berturut-turut, sekali gus berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan surplus.
"Tahun lepas defisit RM46.9 juta telah diubah kepada surplus RM83.07 juta. Ini mengukuhkan lagi kedudukan rizab negeri bagi akaun hasil disatukan iaitu daripada RM410.48 juta pada tahun 2023 kepada RM493.55 juta pada tahun 2024.
"Syabas kepada semua jabatan pemungut hasil, khususnya pejabat kewangan dan perbendaharaan negeri selaku peneraju utama. Beta berharap kerajaan negeri terus merangka strategi dan mencari sumber baharu dalam usaha meningkatkan lagi kutipan hasil negeri," titah baginda pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini hari ini.
Tuanku Muhriz turut berpuas hati dengan prestasi perbelanjaan pembangunan yang menunjukkan peningkatan RM127.23 juta iaitu 97.89 peratus daripada peruntukan.
Baginda bertitah negeri ini diyakini akan terus menjadi destinasi pelaburan utama negara menerusi rekod pelaburan diluluskan RM7.25 bilion iaitu merangkumi RM3.43 bilion pelaburan asing dan RM3.82 bilion pelaburan domestik, sekali gus mampu mewujudkan lebih 4,600 peluang pekerjaan.
“Antara pelaburan boleh dibanggakan ialah Projek F&N Agrivalley oleh Fraser & Neave Holdings Bhd, kini sedang giat dibangunkan di ladang seluas 2,726 hektar dengan pelaburan bernilai RM1 bilion.
"Ladang ini akan menempatkan 20,000 ekor lembu tenusu berpotensi menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun. Jumlah ini dijangka mampu memenuhi permintaan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa," titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah perusahaan mega ini turut mampu menggalakkan pertumbuhan industri pertanian tempatan dan menyediakan kira-kira 600 peluang pekerjaan dengan sebahagiannyamerupakan tenaga kerja mahir.
Sementara itu baginda bertitah bagi memperkukuhkan lagi negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama di negara ini, inisiatif baharu iaitu Negeri Sembilan Fast Lane (N9 Fast Lane) sedang dirangka iaitu pendekatan untuk mempercepatkan proses kelulusan dan menyediakan kemudahan lebih efisien bagi pelabur dan usahawan yang ingin menjalankan projek di negeri ini.
Program Fast Lane ini memberi ruang kepada pelabur untuk menikmati proses yang lebih cepat dan lancar dalam mendapatkan permit, lesen, dan kelulusan berkaitan dengan projek mereka," titah baginda.
Tuanku Muhriz turut bertitah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) terus kekal sebagai pemangkin pembangunan di negeri ini dengan tumpuan kepada pembangunan kawasan industri bagi meningkatkan jumlah pelaburan, melonjakkan ekonomi seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Baginda bertitah MVV 2.0 menyumbang kepada peningkatan hasil kerajaan negeri melalui bayaran premium tanah pada tahun 2024, antaranya adalah NS Semiconductor Valley menyumbang RM40 juta, Techpark 3 sebanyak RM40 juta dan SPD Techvalley sebanyak RM30 juta.
Persidangan DUN bersambung Isnin.
-- BERNAMA
#Negeri Sembilan
#Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
#Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
#Kerajaan Perpaduan