MALAYSIA
Kerjasama media, komunikasi Malaysia-Indonesia langkah tepat mendepani ketidaktentuan global - ISWAMI

Ashwad Ismail, berkata kerjasama ISWAMI Malaysia dan Indonesia sejak 2005 sebagai jambatan memperkukuh hubungan media Malaysia dan Indonesia, perlu melihat cabaran-cabaran semasa termasuk gelombang AI. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) akan memfokuskan kerjasama lebih strategik, bagi memastikan penyampaian maklumat tepat dan bertanggungjawab dalam membina persefahaman antara rakyat Malaysia dan Indonesia mencapai ke tahap lebih tinggi.
Ringkasan AI
- ISWAMI akan memperkukuh kerjasama strategik antara media Malaysia dan Indonesia bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat, bertanggungjawab dan membina persefahaman rakyat kedua-dua negara, terutama dalam menghadapi cabaran era digital dan kecerdasan buatan (AI).
- Presiden ISWAMI Malaysia, Ashwad Ismail, menyatakan perancangan untuk mengadakan pertukaran wartawan, latihan profesional, serta forum dan dialog media serantau sebagai usaha memperkukuh kapasiti dan tanggungjawab media.
- Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan, menyambut baik usaha ini dan menekankan pentingnya penyebaran maklumat yang sahih dalam era media sosial tanpa sempadan, bagi mengukuhkan hubungan masyarakat Malaysia-Indonesia.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertemuan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dengan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Viada Hafid di Tokyo hari ini, dengan kedua-dua pihak menekankan peranan penting ISWAMI dalam mempererat hubungan media kedua-dua negara.
Sehubungan dengan itu, Ashwad berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan susulan bersama rakan-rakan media di Indonesia, bagi merangka pelan tindakan bersama yang merangkumi pertukaran wartawan, program latihan profesional serta penganjuran forum dan dialog media serantau.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memperkukuh kapasiti media kedua-dua negara, dalam membina kebertanggungjawaban media dengan kewartawanan yang inklusif dan berorientasikan penyelesaian.
Ashwad berkata dalam era cabaran digital dan penyebaran maklumat yang rencam dan pantas, kerjasama erat dalam kalangan media adalah amat penting, untuk memastikan penyampaian maklumat tepat, bertanggungjawab dan membina persefahaman antara rakyat.
Beliau berkata dengan semangat setiakawan, ISWAMI percaya media, wartawan dan pencipta kandungan boleh menjadi ejen penting dalam membina kemakmuran bersama antara masyarakat kedua-dua negara.
"ISWAMI bukan sahaja menjadi jambatan memperkukuh jaringan wartawan profesional, tetapi juga memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pemahaman dan persefahaman dalam kalangan rakyat melalui penceritaan yang lebih inklusif dan berpandangan jauh," katanya.
Sementara itu, Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan menyambut baik usaha mengukuhkan lagi kerjasama media kedua-dua negara.
"Hubungan pemimpin kedua-dua negara sudah sangat mesra sejak dahulu, namun di aras masyarakat, terutama pada era media sosial yang tidak lagi memiliki batas wilayah, kebenaran informasi dan verfikasi menjadi sangat penting. ISWAMI terus mengambil peranan bertukar dan menyebarkan informasi yang dapat dipercayai," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami