PUTRAJAYA: Kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, berjaya mengurangkan kadar pengangguran negara daripada 599,600 pada suku tahun keempat 2022 kepada 588,700 orang pada suku tahun pertama tahun ini.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata kadar pengangguran antara negeri juga menurun, yang selari dengan penurunan kadar pengangguran nasional, dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar pengangguran terendah iaitu 0.8 peratus, diikuti Perlis (2.1 peratus), Pulau Pinang (2.3 peratus) dan Negeri Sembilan (2.5 peratus).

Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Talentcorp, Human Resource Development Corp (HRDC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran, ialah dengan menyediakan portal pekerjaan MyFutureJobs iaitu platform secara maya, bagi membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan, kemahiran, gaji dan keperluan majikan, untuk membantu pencari kerja mendapat peluang pekerjaan.

"Seramai 793,086 orang pencari kerja, berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan sehingga April 2023," katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam merancakkan penawaran pekerjaan majikan kepada pencari kerja, Sivakumar berkata Perkeso melaksanakan program temuduga di semua pejabat negeri secara harian dan mingguan, serta melaksanakan Karnival Pekerjaan yang berskala besar.

Beliau berkata bagi tahun ini, sebanyak 4,130 program disasarkan dan setakat April 2023, sebanyak 1,127 program telah dilaksanakan, dengan 5,121 orang pencari kerja berjaya mengisi kekosongan pekerjaan.

Selain itu, Sivakumar berkata kerajaan telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta, yang meliputi bidang-bidang latihan bagi mengatasi masalah ketidakpadanan kemahiran dan isu pengangguran dalam kalangan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata di bawah Bajet 2023, KSM diberi mandat untuk melaksanakan inisiatif Program Pasaran Buruh Aktif yang telah dilancarkan pada 1 Mei, antaranya Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantis TVET dan Lepasan Sekolah atau Kerjaya TVET, yang menyediakan bayaran insentif sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh tiga bulan kepada majikan yang menggajikan graduan TVET.

Sivakumar berkata program Bina Kerjaya Pekerja Informal Gig Riders juga menyediakan elaun RM300 sebulan bagi tempoh tiga bulan kepada pekerja gig, yang aktif menjalani latihan kemahiran untuk mendapat pekerjaan stabil dalam sektor formal serta program peningkatan kemahiran bagi Perantis TVET dan pelajar lepasan sekolah.

Selain itu, katanya pelanjutan insentif penggajian secara bersasar menerusi Program Daya Kerjaya yang membabitkan penempatan pekerjaan bagi kumpulan sasar dalam kalangan belia yang lama menganggur dan golongan rentan antaranya miskin tegar, individu diparol, bekas banduan, wanita, Orang Asli dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata majikan yang berjaya melaksanakan pengambilan pekerja baru di bawah kategori berkenaan layak mendapat sehingga RM1,800 bagi setiap individu.

-- BERNAMA