[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kerjasama strategik pihak industri, institusi pendidikan pacu agenda pendigitalan negara

Bernama 11/09/2025 | 15:45 MYT
Ahmad Zahid menyaksikan Majlis Strategic Partnership Exchange antara UniKL, UiTM Holdings menerusi Neura Sdn Bhd, Viztech, BytePlus serta Digital One Solution di Menara MARA. - Gambar Facebook Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara pihak industri dan institusi pendidikan dapat memacu agenda pendigitalan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mengambil contoh kerjasama antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings, Viztech, BytePlus serta rakan teknologi Digital One Solution yang dimeterai hari ini, beliau berkata kerjasama itu akan memperkukuh agenda transformasi digital dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerjasama strategik itu turut selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras pembangunan bakat negara.

"Insya-Allah, melalui kolaborasi ini, lebih banyak peluang akan diwujudkan untuk memperkaya kurikulum TVET dengan teknologi baharu, memberikan pendedahan industri yang relevan kepada pelajar dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi tuntutan ekonomi digital," katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan Majlis Strategic Partnership Exchange antara UniKL, UiTM Holdings menerusi Neura Sdn Bhd, Viztech, BytePlus serta Digital One Solution di Menara MARA di sini, petang tadi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif itu dan mendoakan semoga kerjasama tersebut terus membawa manfaat besar kepada pembangunan modal insan dan kemajuan ekonomi negara.

-- BERNAMA


#Facebook #kecerdasan buatan #TVET #UiTM