MALAYSIA

Kerjasama strategik tingkat keselamatan, kesihatan pekerja bawah kerangka ASEAN

Kenyataan Media 28/09/2025 | 09:33 MYT
Ayop (tiga, kiri) menyerahkan cenderahati kepada Dr. Nantachai (dua, kiri) selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat T-OSH, Bangkok, pada Jumaat.
KUALA LUMPUR: Agensi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) Malaysia dan Thailand bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan kesejahteraan pekerja terjamin melalui perkongsian modul latihan, hasil penyelidikan, kepakaran dan kemudahan makmal.


Ringkasan AI
  • Agensi keselamatan dan kesihatan pekerjaan Malaysia dan Thailand bersetuju meningkatkan kerjasama strategik melalui perkongsian modul latihan, hasil penyelidikan, kepakaran dan kemudahan makmal bagi menjamin kesejahteraan pekerja.
  • Kolaborasi antara NIOSH dan T-OSH diperkukuh melalui penyertaan dalam Sidang Kemuncak KKPi ASEAN serta lawatan kerja ke Ibu Pejabat T-OSH, dengan rancangan lawatan balas ke makmal KKP bertaraf antarabangsa di NIOSH, Bandar Baru Bangi.
  • Kerjasama ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI dan Kementerian Sumber Manusia untuk mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di rantau ASEAN melalui kerangka ASEAN dan AOSHRI.


Kerjasama antara Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Institut KKP Thailand (T-OSH) semakin erat apabila delegasi dari negara jiran itu turut menyertai Sidang Kemuncak KKPi ASEAN 2025 anjuran NIOSH di Kuala Lumpur awal bulan lepas.

Pengarah Eksekutif NIOSH Datuk Ayop Salleh yang mengetuai lawatan kerja ke Ibu Pejabat T-OSH pada Jumaat, berkata kolaborasi di antara kedua-dua agensi tersebut amat penting kerana ia menjadi permulaan untuk kerjasama lebih menyeluruh dalam kalangan negara-negara serantau di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia.

“Pertemuan kali ini amat memberangsangkan kerana kedua-dua pihak turut bersetuju untuk melaksanakan promosi aktiviti berkaitan KKP secara bersama melalui pameran dan persidangan di dalam dan luar negara.

“NIOSH dan T-OSH juga akan bersama-sama meningkatkan keupayaan makmal dan tenaga pakar masing-masing bagi memastikan aspek penyelidikan berkaitan KKP memenuhi kehendak industri serta mampu memberikan penyelesaian praktikal untuk cabaran-cabaran baharu,” katanya

Dalam lawatan kerja ke T-OSH tersebut, delegasi NIOSH telah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Eksekutif T-OSH, Dr. Nantachai Panyasurarit; Timbalan Pengarah (Akademik), Profesor Madya Buncha Srithanauthaikorn; Timbalan Pengarah (Pentadbiran), Dr. Sasadis Choochon; serta Dr. Thanawan Ritthichai selaku Penyelidik Profesional T-OSH.

Mengulas lanjut, Ayop berkata, T-OSH akan turut menghantar pasukannya untuk melihat lebih dekat pelbagai kemudahan di Ibu Pejabat NIOSH di Bandar Baru Bangi termasuk 13 makmal KKP bertaraf antarabangsa.

“Lawatan balas ini akan menjadi penanda aras untuk program yang sama dalam kalangan negara-negara ASEAN, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk meningkatkan tahap KKP di rantau ASEAN,” katanya.

T-OSH merupakan organisasi awam pertama di bawah Kementerian Buruh Thailand dan ia ditubuhkan bagi mempromosikan KKP dan alam sekitar di seluruh negara tersebut.

Ayop berkata, ketika program ASEAN berlangsung di Kuala Lumpur, delegasi dari negara-negara ASEAN turut dibawa melawat beberapa makmal NIOSH selain menyaksikan perasmian Pejabat Perhubungan (Liaison Office) Institut Penyelidikan KKP Asia (AOSHRI) di Ibu Pejabat NIOSH.

Beliau berkata, kerjasama yang terjalin antara organisasi KKP serantau menerusi kerangka ASEAN dan AOSHRI diyakini mampu mempercepatkan inisiatif untuk meningkatkan tahap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja seiring dengan negara-negara maju.


#ASEAN25 #NIOSH #Thailand #Ayop Salleh