MALAYSIA

Kerjasama strategik UniMAP, UniSIRAJ dengan IPT Indonesia dijangka dipergiat

Bernama 22/07/2025 | 03:50 MYT
Tuanku Syed Faizuddin (kiri) berkenan menyampaikan cenderamata kepada Brian Yuliarto semasa mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia itu, pada Ahad lalu.
KANGAR: Beberapa potensi kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), di sini, dengan institusi pengajian tinggi di Indonesia dijangka dipergiat selepas ini.

Menurut kenyataan Istana Arau malam tadi, silaturahim antara Perlis dengan Indonesia bertambah akrab susulan penubuhan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di negeri ini yang merupakan satu-satunya kampus milik penuh Universitas Muhammadiyah di luar Indonesia.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dan UniSIRAJ menerusi kenyataan itu bertitah, penubuhan UMAM di Perlis diharap menjadi pemacu dalam menyediakan tawaran pendidikan yang kondusif sekali gus mengisi 'dahaga' masyarakat terhadap keperluan pendidikan di nusantara.

"Beberapa inisiatif bersama juga sudah pun dalam perancangan untuk dilaksanakan sepanjang September akan datang antara Perlis dan Indonesia," titah baginda.

Terdahulu, kenyataan itu memaklumkan, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Prof Brian Yuliarto di Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

-- BERNAMA



#UniMAP #UniSIRAJ #Raja Muda Perlis #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #Universiti Muhammadiyah Malaysia