KUALA LUMPUR: ASEAN Social Security Association (ASSA) terus memainkan peranan penting dalam memperkuatkan sistem perlindungan sosial negara-negara anggota menerusi kerjasama bersama Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

ASSA merupakan sebuah pertubuhan yang merangkumi semua agensi perlindungan sosial di ASEAN yang bertujuan memudahkan pertukaran idea dan perkongsian amalan terbaik antara ahli-ahli negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sebagai badan yang mewakili kesemua 10 negara ASEAN, ASSA menyediakan platform bagi wakil-wakil negara untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian bersama terhadap cabaran dalam sistem perlindungan sosial masing-masing.

Sistem perlindungan kukuh elak kemiskinan hari tua

Ujarnya lagi, melalui kerjasama ini, negara-negara anggota dapat mengambil elemen penambahbaikan untuk diperkenalkan dalam sistem perlindungan sosial mereka sendiri, seterusnya menyusun langkah-langkah yang lebih efisien dan efektif dalam meningkatkan perlindungan sosial rakyat mereka.

"Salah satu aspek penting dalam kerjasama ini adalah mobiliti skema perlindungan sosial di antara negara-negara ASEAN.

"Ini membolehkan individu yang bekerja di beberapa negara anggota untuk mencarum walau di mana mereka berada," jelas beliau ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI.

Dengan kemudahan ini, tambah beliau, setiap individu dapat memastikan simpanan persaraan mereka mencukupi tanpa sebarang kesenjangan termasuk perubahan geografi.

Terdahulu, ISSA dan ASSA memeterai perjanjian persefahaman (MoU) yang menandakan tonggak penting dalam usaha bersama memperkuatkan sistem perlindungan sosial di rantau ASEAN pada Isnin.

Selain menangani segala kesenjangan dalam skim perlindungan sosial, MoU itu dijangka dapat menangani isu pekerja sektor tidak formal dalam kalangan 680 juta penduduk ASEAN.