MALAYSIA

Kerongsang emas 4,500 tahun, batu jade langka ditemukan di Troy purba, Turkiye

Bernama 28/09/2025 | 00:50 MYT
Kerongsang emas berusia 4,500 tahun ditemui di kota purba Troy, salah satu daripada hanya tiga contoh yang diketahui di seluruh dunia. - Foto X/Arkeonews
ANKARA: Ahli arkeologi yang menjalankan ekskavasi di kota purba Troy, barat laut Turkiye telah menemui kerongsang emas berusia 4,500 tahun dan seketul batu jade langka, lapor Anadolu Ajansi memetik Menteri Kebudayaan dan Pelancongan negara itu Mehmet Nuri Ersoy pada Sabtu.

Ersoy mengumumkan penemuan itu di platform media sosial Turkiye, NSosyal, dengan menyifatkan kerongsang yang bertarikh Zaman Gangsa Awal itu sebagai "antara penemuan terpenting abad lampau."

Beliau berkata artifak itu merupakan satu daripada hanya tiga contoh yang diketahui di seluruh dunia, dan yang paling terpelihara.

Artifak yang ditemui dalam lapisan penempatan Troy II itu bertarikh sekitar 2,500 SM. Menurut kementerian, penemuan itu juga membantu menyelesaikan perdebatan lama mengenai permulaan tempoh Troy II.

Ersoy menjelaskan bahawa batu jade dianggap sebagai barangan mewah kira-kira 4,500 tahun lampau. Kedua-dua artifak itu, bersama sebatang pin gangsa yang ditemui dalam lapisan sama, akan dipamerkan di Muzium Troy di Canakkale.

Selama lebih 160 tahun, ahli arkeologi mengkaji kota purba Troy, yang diabadikan dalam puisi epik Homer, The Iliad dan The Odyssey.

Tapak itu telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1998 dan dianggap sebagai satu daripada tapak arkeologi terpenting dunia, yang memberi pencerahan mengenai urbanisasi dan perdagangan awal Anatolia.

Kementerian berkenaan berkata penemuan ini akan "menerangi sejarah di bumi tempat ia pernah dilalui," selaras dengan prinsip mempamerkan artifak di lokasi ia ditemukan.

-- BERNAMA









#Troy #keronsang emas #jade langka #Zaman Gangsa Awal