MALAYSIA

Kertas cadangan Tribunal Antibuli dibentang dalam mesyuarat Kabinet esok - Azalina

Bernama 23/10/2025 | 10:30 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said ditemui media selepas menyampaikan ceramah sempena sesi Townhall Antibuli di sini, hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Kertas cadangan mengenai Tribunal Antibuli akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok, sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menangani kes buli di sekolah.


Ringkasan AI
  • Kertas cadangan mengenai penubuhan Tribunal Antibuli akan dibentangkan kepada Kabinet esok, sebagai langkah menangani kes buli di sekolah melalui proses sivil yang lebih cepat dan berkesan.
  • Tribunal ini akan mempunyai kuasa separa kehakiman untuk menyelesaikan kes buli dalam tempoh 6090 hari, tanpa mengganggu mekanisme tatatertib sedia ada; kes jenayah kekal di bawah polis dan mahkamah.
  • Azalina menekankan pendekatan mendidik dan memulihkan selaras Akta Kanak-Kanak 2001, serta menggalakkan rakyat menyertai tinjauan awam mengenai RUU Antibuli 2025 di portal PetaRI.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Reformasi Institusi dan Undang-Undang) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata selepas Kabinet bersetuju dengan rangka dasar berkenaan, langkah seterusnya ialah membentangkan rang undang-undang yang kini hampir siap.

"Terlebih dahulu, kita perlu membentangkan dasar umum melalui sesi libat urus awam, dengan bantuan beberapa kementerian untuk menilai maklum balas dan pandangan diterima.

"Sebaik sahaja Kabinet meluluskan dasar itu, kita akan berhubung dengan beberapa Ahli Parlimen untuk meneruskan perbincangan dan mendapatkan pandangan mereka. Ini merupakan satu bentuk libat urus awam secara tidak langsung," katanya kepada pemberita selepas sesi libat urusan mengenai Tribunal Antibuli di sini hari ini.

Azalina berkata cadangan akta yang dicadangkan itu akan mewujudkan sebuah tribunal yang mempunyai kuasa separa kehakiman untuk mengendalikan kes-kes buli melalui proses sivil bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan.

"Kita ingin jelaskan bahawa tribunal ini mempunyai kuasa separa kehakiman. Matlamatnya ialah untuk memastikan sistem institusi berfungsi secara bebas dan undang-undang ini tidak akan mengganggu mekanisme tatatertib sedia ada di pelbagai institusi," katanya.

Beliau menegaskan bahawa tribunal berkenaan hanya akan mengendalikan kes-kes sivil, manakala kes buli yang melibatkan unsur jenayah akan terus berada di bawah bidang kuasa polis dan mahkamah jenayah.

Sebagai contoh, beliau berkata satu kes sivil berkaitan buli sebelum ini mengambil masa hampir sembilan tahun untuk diselesaikan melalui mahkamah, namun di bawah sistem tribunal, kes seumpama itu boleh diselesaikan dalam tempoh 60 hingga 90 hari sama seperti Tribunal Gangguan Seksual di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Terdahulu dalam ucapannya, Azalina berkata pendekatan mewujudkan tribunal itu adalah yang terbaik untuk mangsa dan pelaku (pembuli) kerana proses tribunal lebih pantas dan memberi ruang kepada usaha pemulihan bagi memberi peluang kedua.

Beliau berkata Malaysia telah memperkukuh undang-undang bagi membendung masalah buli dengan melakukan pindaan Kanun Keseksaan (Seksyen 507A-507G) dan penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Namun, undang-undang sahaja tidak mencukupi, justeru Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sedang meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli termasuk penubuhan tribunal separa kehakiman untuk aduan melibatkan golongan rentan bawah 18 tahun.

"Pendekatan kita bukan sekadar menghukum tetapi mendidik dan memulihkan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 melindungi hak kerahsiaan dan bantuan guaman kanak-kanak tanpa menafikan tanggungjawab atas kesalahan.

"Usaha menangani buli memerlukan pendekatan whole-of-government dan kerjasama komuniti.

"Justeru, saya menggalakkan setiap rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam tinjauan berhubung cadangan penggubalan RUU Antibuli 2025 di laman portal PetaRI (https://petari.bheuu.gov.my) untuk berkongsi pandangan, cadangan dan idea bagi mencari penyelesaian tuntas dalam hal ini," katanya.

-- BERNAMA




#tribunal antibuli #dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet #Azalina Othman Said #kertas cadangan