Kertas Kabinet NIISe akan dibentang April ini - Saifuddin

Umavathi Ramayah
Mac 29, 2023 11:40 MYT
Saifuddin berkata, pada ketika ini kementeriannya sedang dalam dalam proses penyediaan kertas Kabinet tersebut. - Fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kertas Kabinet berhubung Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) akan dibentangkan pada April ini, menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, pada ketika ini kementeriannya sedang dalam dalam proses penyediaan kertas Kabinet tersebut.
"Sebagai menteri saya perlu mendapatkan gambaran tepat mengenai apa yang berlaku terhadap sistem yang menelan perbelanjaan RM1.2 bilion tersebut," katanya pada Sesi Dialog Menteri Bersama Media di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata, keputusan Kabinet kelak sama ada untuk meneruskan atau membatalkan projek tersebut dianggap sebagai yang terbaik.
Beliau juga memberi jaminan akan bertindak telus dengan melaporkan apa yang berlaku tanpa berselidung.
Sebelum ini, media melaporkan Kabinet telah memutuskan untuk membatalkan projek NIISe yang diberikan kepada IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Laporan berkenaan yang memetik sumber menyatakan bahawa projek itu mengalami kelewatan dan hanya 10 peratus daripada projek itu siap walaupun telah ditawarkan pada 2020.
Projek NIISe telah berjalan hampir dua tahun dan sepatutnya siap Ogos 2025.
#kertas kabinet #niise #Saifuddin Nasution #Sistem Imigresen Bersepadu Nasional