KUALA LUMPUR: Kertas Putih Kesihatan Malaysia akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan yang antara tugasnya menjadi badan bebas memantau, menasihati dan melaporkan status pelaksanaan reformasi sistem kesihatan kepada kerajaan, Parlimen dan orang ramai.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, cadangan sedemikian bertujuan untuk meningkatkan lagi sistem penjagaan kesihatan negara yang kalis masa depan.

"Dengan adanya Suruhanjaya Pembaharuan Penjagaan Kesihatan yang telus dan dilantik dengan betul, kami (Kementerian Kesihatan) berharap ia akan meningkatkan tahap semak dan imbang keinstitusian dan kestabilan kepada ekonomi politikal penjagaan kesihatan, menyokong reformasi struktur tidak kira apa yang akan berlaku pada masa hadapan," katanya.

Khairy berkata demikian dalam ucaptamanya bertajuk 'Penjagaan Kesihatan Awam Kalis Masa Depan' pada Dialog Kepimpinan Pemikiran Kesihatan Awam yang berlangsung di Jabatan Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2 Jun, ketika beliau di republik itu sebagai Fellor Pertukatan Lee Kuan Yew.

Teks ucaptama beliau itu telah diterima Bernama hari ini selepas video mengenainya dimuat naik di Saluran YouTube NUS pada Jumaat.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan pada ketika ini sedang mempertimbangkan empat bidang reformasi dalam penyediaan Kertas Putih Kesihatan yang bertujuan untuk perubahan struktur yang kukuh bagi memastikan ia satu sistem kesihatan Malaysia yang kalis masa depan.

Beliau berkata bidang pertama ialah kesaksamaan akses yang termasuk mentakrifkan aspek kualiti mengenai asas penjagaan perkhidmatan kesihatan, mengurangkan jurang antara rantau dalam kemudahan kesihatan dan mempunyai rangka kerja yang jelas untuk penilaian kos faedah.

"Sebagai langkah pertama, satu daripada struktur utama reformasi yang Malaysia sedang kaji ialah untuk memberikan kuasa autonomi operasi yang lebih lebih banyak kepada hospital awam, supaya institusi utama yang kini terbeban dan terkekang ini, akan diberi ruang untuk lebih responsif terhadap perubahan keperluan penduduk," katanya.

Khairy berkata perubahan itu bertujuan juga memudahkan integrasi dan perkongsian awam swasta yang lebih baik, bagi membolehkan Kementerian Kesihatan menumpukan pada dasar, peraturan, penyelidikan, pemantauan dan campur tangan kesihatan awam, sambil menurunkan penyampaian perkhidmatan dalam jangka panjang.

Beliau berkata bidang kedua yang sedang dipertimbangkan oleh Kertas Putih Kesihatan ialah pembiayaan penjagaan kesihatan yang mampan, kerana sejak serangan COVID-19 ke atas kehidupan, mata pencarian dan rasa selamat kebayanyakan orang, pembiayaan untuk penjagaan kesihatan semakin dilihat sebagai pelaburan dan bukannya perbelanjaan.

"Sememangnya, pelaburan dalam sistem penjagaan kesihatan harus dilihat sebagai satu pelaburan untuk pembangunan negara, sama seperti pelaburan dalam pendidikan," katanya.

Khairy berkata aspek ketiga yang sedang dipertimbangkan dalam Kertas Putih Kesihatan ialah tadbir urus, pengawasan dan akauntabiliti dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan adalah salah satu cadangan bagi memastikan hala tuju reformasi itu akan dilaksanakan.

Beliau berkata aspek terakhir ialah mengembalikan 'kesihatan' berbanding penjagaan kesihatan, kerana pada masa ini ia adalah lebih kepada penjagaan pesakit,

"Pemerkasaan komuniti merupakan komponen yang sangat penting dan sebahagian daripada reformasi struktur adalah untuk bekerjasama dengan lebih berkesan dengan organisasi masyarakat dan agen perubahan komuniti untuk meningkatkan celik kesihatan serta menangani halangan yang berakar umbi dalam penentu sosial kesihatan seperti pendapatan, kemiskinan, pendidikan, perumahan, persekitaran setempat dan lain-lain lagi," tambahnya.

Beliau berkata COVID-19 ialah panggilan kesedaran dan peluang untuk melakukan penetapan semula serta reformasi sistemik yang telah lama tertunggak dan perlu dilaksanakan pada masa sekarang.

-- BERNAMA