KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu berkongsi beban dengan sektor swasta dan ahli akademik untuk memastikan tahap penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, reformasi berkenaan akan membolehkan KKM menumpukan kepada aspek lain berkaitan kesihatan penduduk.

“Antara lain, KKM menjadi agensi yang menggubal polisi, penguat kuasa, penyedia perkhidmatan, penyelidikan, dan melatih kakitangan berkaitan kesihatan. Melihat kepada semua peranan ini, adakah pada masa akan datang Kementerian Kesihatan dapat melaksanakan semua peranannya dengan baik?

“Itulah yang dimaksudkan dengan mengukuhkan aktiviti kesihatan. Mungkin kementerian harus melihat kaedah untuk melibatkan sektor swasta untuk memberikan perkhidmatan kesihatan agar ianya lebih efektif untuk manfaat rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Syed Aljunid menjelaskan, perkongsian beban perlu dilakukan, memandangkan sektor kesihatan hanya menyumbang antara 25 hingga 30 peratus kepada tahap kesihatan penduduk sesebuah negara.

Dengan perkongsian peranan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada orang awam, KKM akan mempunyai lebih banyak kemampuan untuk meneliti dan memberi tumpuan kepada isu-isu dan cabaran-cabaran kesihatan yang lain.

“Tahap kesihatan penduduk sesebuah negara bergantung kepada beberapa faktor. Ia termaktub dalam satu konsep Penentu Kesihatan Sosial yang menyatakan ada faktor-faktor lain selain daripada perkhidmatan kesihatan.

“Misalnya, pendidikan, pendapatan masyarakat, sektor pekerjaan, suasana pekerjaan dan iklim. Sehinggakan ada kajian yang menyatakan sistem kesihatan hanya menyumbangkan sebanyak 25 hingga 30 peratus sahaja daripada tahap kesihatan keseluruhan sesebuah negara.

“Oleh yang demikian, peranan penting yang dimainkan oleh Kementerian Kesihatan sebagai agensi yang menyediakan perkhidmatan kesihatan harus diperkemas supaya Kementerian boleh memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti berkaitan dengan baik,” katanya lagi.