Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kertas siasatan GISB di Selangor diperkemas, tunggu pendakwaan - Exco

Bernama 18/08/2025 | 07:20 MYT
Mohammad Fahmi berkata pihaknya kini sedang menunggu tindakan susulan pihak pendakwaan terhadap syarikat berkenaan yang sebelum ini dikait terbabit dengan pelanggaran fatwa ajaran sesat di negeri ini. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kertas siasatan berhubung kes melibatkan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) telah diperkemas dan dihantar semula kepada pihak pendakwaan.


Ringkasan AI
  • Kertas siasatan terhadap GISB yang dikaitkan dengan pelanggaran fatwa ajaran sesat di Selangor telah diperkemas dan dihantar semula kepada pihak pendakwaan, dengan tindakan susulan kini sedang ditunggu.
  • Jumlah bekas pengikut GISB di Selangor semakin berkurangan, dipercayai berpindah ke negeri lain selepas menyedari rangkaian tersebut difatwa sesat, manakala kanak-kanak yang diselamatkan telah mengikuti pendidikan arus perdana.
  • Proses pemulihan bekas pengikut berjalan baik, termasuk bantuan asas oleh Lembaga Zakat Selangor dan penyertaan ibu bapa dalam kelas pemulihan Al-Riqab, yang dijadual berlangsung selama enam bulan.


Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Mohammad Fahmi Ngah berkata pihaknya kini sedang menunggu tindakan susulan pihak pendakwaan terhadap syarikat berkenaan yang sebelum ini dikait terbabit dengan pelanggaran fatwa ajaran sesat di negeri ini.

"Setakat dua minggu lepas, saya dimaklumkan kertas siasatan telah dihantar semula selepas diperkemaskan, jadi kini sedang menunggu pendakwaan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah Malaysian Book Of Records Flexi Parking di sini hari ini.

Beliau berkata perkembangan terkini turut menyaksikan jumlah bekas pengikut GISB di Selangor telah berkurangan, dipercayai berpindah ke negeri lain kerana sedar rangkaiannya yang difatwa sesat di negeri ini.

Mengulas mengenai pemulihan pengikut GISB, Mohammad Fahmi berkata kesemua kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan GISB juga telah mengikut pendidikan di sekolah arus perdana.

Beliau berkata Lembaga Zakat Selangor juga memastikan penyaluran bantuan disediakan bagi menjamin mereka memperoleh keperluan asas yang lengkap.

"Bagi ibu bapa pula, mereka telah hadir ke kelas-kelas (pemulihan) Al-Riqab yang disediakan. Jadi, pemulihan telah berlaku dengan baik dan proses pemulihan ini masih berjalan untuk tempoh enam bulan ini," katanya.

-- BERNAMA



#GISB #Selangor #pendakwaan #Mohammad Fahmi Ngah