[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Kertas siasatan kes ilustrasi Jalur Gemilang dirujuk ke Peguam Negara - KPN

Sinar Harian 19/04/2025 | 08:20 MYT
Kertas siasatan membabitkan akhbar Sin Chew Daily berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan akhbar Sin Chew Daily berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara, pada Jumaat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan dan merujuk kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk penelitian lanjut.
“Setakat ini, seramai 54 individu telah dirakam keterangan, terdapat saksi lain mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan.
“Siasatan awal mendapati antara alasan diberikan pihak akhbar berkenaan kerana berlakunya kesilapan teknikal dalam penyiaran ilustrasi tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Pada Jumaat, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.
Razarudin dilaporkan berkata, kedua-dua individu dibawa ke pejabat mereka bagi mendapatkan komputer serta barang berkaitan kes bagi siasatan, kemudian mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
Terdahulu, pihak polis merakam keterangan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.
Ketua Editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala Timbalan Ketua Penyunting terbabit pula adalah pereka grafik gambar berkenaan.
Razarudin berkata setakat ini, pihaknya menerima 40 laporan berhubung isu itu di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. - Sinar Harian
#Jalur Gemilang #Sin Chew Daily #PDRM #Razarudin Husain