JOHOR BAHRU: Polis Johor telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah yang diterima kumpulan muzik rock Indonesia, Radja Band sewaktu mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena, Larkin pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamaruzaman Mamat berkata, kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

Setakat ini katanya, polis telah merakam keterangan seramai 17 individu terdiri daripada 14 warga tempatan dan selebihnya merupakan warga asing.

“Polis Johor memberi jaminan bahawa siasatan yang telus akan dijalankan tanpa kompromi mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Polis Johor menyatakan telah menahan dua individu lelaki masing-masing berusia 37 dan 48 tahun bagi membantu siasatan kes.

Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan sekitar jam 3.30 petang Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan, band terkenal Indonesia itu menerima ancaman bunuh serta dilempar dengan kata-kata kesat selepas selesai mengadakan konsert.

Kejadian itu katanya berpunca akibat wujudnya salah faham antara pihak penganjur dan Radja Band sebelum mereka bertindak membuat laporan di Balai Polis Larkin.

Menurut Kamaruzaman Mamat, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.