SUNGAI PETANI: Kertas siasatan membabitkan seorang lelaki yang disyaki memukul tenaga pengajar ketika sedang menyampaikan kuliah subuh di sebuah masjid di Tikam Batu akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, setakat ini polis telah menahan suspek pada hari sama kejadian berlaku.
“Pelaku telah ditangkap dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki menyerang tenaga pengajar berkenaan ketika kuliah subuh berlangsung di sebuah masjid di Tikam Batu pada Sabtu.
Kejadian itu turut mendapat perhatian ramai selepas tular sebuah rakaman video berdurasi 55 saat di media sosial.
Rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki yang secara tiba-tiba masuk ke dalam masjid, meluru ke bahagian hadapan sebelum memukul kepala tenaga pengajar terbabit.
Bagaimanapun, Hanyan berkata, pemeriksaan kesihatan turut dijalankan terhadap suspek yang berusia lingkungan 30-an susulan dakwaan bahawa lelaki berkenaan mempunyai masalah kesihatan.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi sebelum tangkapan dibuat sekitar jam 1 tengah hari pada hari yang sama.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. - Sinar Harian