MALAYSIA

Kertas siasatan libatkan kes penyanyi terkenal diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya

Bernama 05/06/2025 | 15:23 MYT
Shahrulnizam Ja’afar berkata pihaknya sedang menunggu arahan pendakwaan daripada Pejabat Peguam Negara. - Foto fail/BERNAMA
PETALING JAYA: Polis telah menyerahkan kertas siasatan kes pelakon dan penyanyi terkenal yang disyaki melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata pihaknya sedang menunggu arahan pendakwaan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Kertas siasatan telah diserahkan kepada TPR pagi tadi dan masih dalam tindakan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelakon dan penyanyi terkenal ditahan Selasa lepas bagi membantu siasatan berkaitan kes amang seksual melibatkan seorang remaja wanita berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Pelakon dan penyanyi berkenaan yang ditahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bagaimanapun dibebaskan pada hari sama dengan jaminan polis.

Suspek dilaporkan pernah beberapa kali bertemu mangsa di sebuah kafe tempat remaja itu bekerja sebelum kejadian itu berlaku.




#amang seksual #remaja #penyanyi #pelakon