Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kertas siasatan Zara Qairina dirujuk semula ke AGC pada 18 Ogos - Pengarah JSJ

Umavathi Ramayah 17/08/2025 | 10:37 MYT
Kertas siasatan kematian Zara Qairina Mahathir akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara selepas siasatan tambahan oleh pasukan khas Bukit Aman melibatkan 195 saksi. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, Zara Qairina Mahathir akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara (AGC) esok untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.


Ringkasan AI
  • Kertas siasatan kematian Zara Qairina Mahathir akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara selepas siasatan tambahan oleh pasukan khas Bukit Aman melibatkan 195 saksi.
  • Siasatan tertumpu kepada dua aspek utama: prosiding inkues dan kemungkinan jenayah seperti buli serta penularan berita palsu.
  • PDRM memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh, sambil menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata tindakan itu dibuat selepas pasukan khas selesai melaksanakan siasatan tambahan bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini seramai 195 saksi sudah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Mereka terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta lain-lain saksi yang mempunyai kaitan langsung dengan kes ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.

Menurut Kumar, siasatan polis tertumpu kepada dua aspek utama iaitu inkues serta kemungkinan berlakunya perlakuan jenayah lain, termasuk kes buli dan penularan berita palsu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“PDRM memberi jaminan proses siasatan dilaksanakan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” kata Kumar.

Pada 6 Ogos lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan, Jabatan Peguam Negara menyerahkan semula laporan siasatan awal kepada polis untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian tragis remaja itu mencetuskan gelombang simpati dan kemarahan rakyat, terutama selepas dikaitkan dengan dakwaan buli di sekolah terbabit.

Tanda pagar #JusticeForZara digunakan secara meluas di media sosial sebagai solidariti menuntut keadilan dan siasatan telus.













#Zara Qairina Mahathir #Pejabat Peguam Negara #M Kumar #18 Ogos #AGC