MALAYSIA

Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak akan ditambah - PM Anwar

Bernama 26/09/2025 | 15:32 MYT
Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Himpunan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar malam ini. - Foto BERNAMA
TAWAU: Kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan ditambah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan ditambah, buat kali pertama sejak tahun 1993.
  • Beliau mengingatkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah perlu dibubarkan selewat-lewatnya pada 11 November ini dan menasihatkan rakyat agar kekal bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri.
  • Anwar turut menegaskan bahawa Sabah menerima peruntukan pembangunan tertinggi berjumlah RM6.7 bilion, termasuk tambahan RM39 juta untuk projek tebatan banjir.


Beliau berkata sebelum ini, perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 bahawa kedua-dua negeri berkenaan memohon pertimbangan supaya bilangan kerusi Parlimen ditambah.

"Buat kali pertama sejak 1993, Anwar yang sekarang jadi Perdana Menteri mengumumkan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan ditambah," kata beliau ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan bersempena dengan 27 tahun reformasi, di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Sementara itu, Anwar berkata Dewan Undangan Negeri Sabah harus bubar selewat-lewatnya pada 11 Nov ini dan mengingatkan kepada semua pihak agar kekal bersatu padu serta mengelak sebarang permusuhan yang boleh menggugat perpaduan.

"Kita pilih orang Sabah yang baik, kita pilih orang Semenanjung yang baik. Kita pakat kerajaan negeri, Persekutuan yang baik untuk jaga kita, ini yang penting," kata beliau sambil menyatakan Pilihan Raya Negeri itu penting bagi membolehkan rakyat memilih pemimpin yang akan mewakili suara mereka.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi turut mengulangi bahawa Sabah menerima peruntukan pembangunan yang tertinggi dalam sejarah di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan dengan pelbagai bantuan berdasarkan keperluan negeri.

"Tadi, saya di Kota Kinabalu juga sempat melihat kesan banjir, bangunan sekolah, bantu soal tebatan banjir. Saya tengok keperluan tebatan banjir perlu RM39 juta, hari Isnin ini saya (hadir) mesyuarat, saya akan luluskan RM39 juta, itu cara kita," kata beliau.

Dalam Belanjawan 2025 sebelum ini, Sabah menerima peruntukan pembangunan yang tinggi berjumlah sebanyak RM6.7 bilion sebagai tanda komitmen kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA


#kerusi Parlimen #Sabah dan Sarawak #ditambah #Perdana Menteri Anwar Ibrahim