MALAYSIA

Kes 1MDB: Mahkamah Tinggi tolak pembelaan Najib berkaitan derma politik keluarga diraja Arab Saudi

Bernama 26/12/2025 | 06:10 MYT
Mahkamah Tinggi menolak dakwaan Najib bahawa dana RM2.3 bilion dari 1MDB adalah sumbangan politik Arab Saudi. -Foto fail/Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi menolak dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa wang berjumlah RM2.3 bilion dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Saudi, selepas mendapati dana itu dipindahkan terus ke akaun peribadinya.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi menolak dakwaan Najib bahawa dana RM2.3 bilion dari 1MDB adalah sumbangan politik Saudi, kerana wang dipindahkan terus ke akaun peribadi Najib tanpa bukti resmi atau pengakuan parti politik.
  • Hakim menyatakan tiada rekod atau bukti pengaitan penderma dengan sumbangan politik yang sah; Najib juga disifatkan tidak mungkin tidak menyimpan rekod akaun yang betul bagi parti politik UMNO yang dipimpinnya.
  • Hakim menegaskan walaupun dana itu didakwa sebagai sumbangan politik, penggunaannya tidak sah jika berasal dari sumber haram; Najib didakwa atas empat pertuduhan suapan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dari dana 1MDB.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Keputusan itu disampaikan oleh Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi dan kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, sewaktu membacakan penghakiman dalam kes Najib berhubung 1MDB bernilai RM2.3 bilion.

Dalam penghakimannya, hakim Sequerah berkata tiada resit dikeluarkan oleh kerajaan atau mana-mana parti politik yang mengakui penerimaan wang tersebut.

"Tiada juga bukti pengakuan rasmi oleh kerajaan atau mana-mana parti politik kepada penderma yang didakwa, mahupun oleh tertuduh sendiri. Selain itu, surat sumbangan Arab yang didakwa ditujukan ke kediaman peribadi tertuduh dan bukannya ke alamat rasmi atau parti," kata hakim itu.

Beliau menegaskan bahawa tiada rekod rasmi atau minit oleh tertuduh mengenai sumbangan yang didakwa itu, mahupun bukti yang mengaitkan penderma keluarga diraja itu dengan sumbangan politik yang sah.

Hakim Sequerah turut menekankan bahawa adalah mustahil untuk mempercayai bahawa jumlah wang yang begitu besar boleh dipindahkan ke akaun tertuduh tanpa rekod akaun yang lengkap dan telus.

"Pada masa itu, parti politik yang dipimpin tertuduh ialah UMNO, parti politik terbesar di Malaysia dengan sejarah sejak 1946.

"Mustahil bagi seseorang dalam jawatan Perdana Menteri untuk tidak menyimpan rekod akaun yang betul bagi sebuah parti yang kononnya menerima jumlah wang yang besar sedemikian," kata hakim itu.

Beliau juga menegaskan bahawa walaupun wang tersebut didakwa sebagai sumbangan politik, ia tidak akan menghalalkan penggunaannya sekiranya ia berasal daripada sumber haram.

"Mahkamah menegaskan bahawa tujuan penggunaan dana itu adalah kritikal, tanpa mengira niat yang didakwa sebagai sumbangan.

"Sebagai kesimpulan, walaupun dana tersebut didakwa dimaksudkan sebagai sumbangan politik, iaitu dakwaan itu sendiri didapati tidak berasas, ia tetap tidak menjadikan penggunaan dana tersebut sah sekiranya ia berasal daripada sumber haram, kerana tujuan penggunaan dana itu tidak relevan."

"Justeru, hujah tertuduh bahawa wang yang diterima adalah untuk sumbangan politik adalah tidak boleh diterima," tegas hakim itu.

Ketika berita ini dilaporkan, hakim Sequerah masih membacakan penghakiman dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion dan dijangka mengambil kira-kira tiga jam lagi untuk diselesaikan.

Mahkamah kini bersidang semula selepas solat Jumaat pada pukul 3 petang.

Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas Perdana Menteri itu didakwa melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dengan wang RM2.3 bilion dalam kes 1MDB?
    A: Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa wang tersebut adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Saudi.
  • Q: Mengapa Mahkamah Tinggi menolak dakwaan Najib bahawa wang tersebut adalah sumbangan politik?
    A: Mahkamah Tinggi menolak dakwaan tersebut kerana tiada resit atau bukti pengakuan rasmi daripada kerajaan atau mana-mana parti politik yang mengesahkan penerimaan wang tersebut.
  • Q: Apa yang ditegaskan oleh Hakim Sequerah berkenaan rekod akaun dan penggunaan wang yang dipindahkan ke akaun Najib?
    A: Hakim Sequerah menegaskan bahawa adalah mustahil untuk mempercayai bahawa jumlah wang yang besar boleh dipindahkan ke akaun Najib tanpa rekod akaun yang lengkap dan telus.
  • Q: Apakah tindakan undang-undang yang dihadapi oleh Najib berkaitan dengan dana 1MDB?
    A: Najib didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
  • Q: Apakah hukuman yang mungkin dijatuhkan ke atas Najib jika sabit kesalahan terhadap pertuduhan yang dihadapkan kepadanya?
    A: Najib boleh dihukum dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM5 juta bagi pertuduhan pengubahan wang haram, jika sabit kesalahan.



#1MDB #Najib Razak #pengubahan wang haram #Mahkamah Tinggi