KUALA LUMPUR: Pengurus cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB sebagai pemegang mandat bagi lima akaun banknya.

R Uma Devi, 43, berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, Najib telah menghantar surat kepada pihak bank dan menyatakan telah melantik Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat bagi akaun 211-202-200969-4 (AmPrivate banking/ MR) dan empat akaun yang lain.

Akaun tersebut ialah AmIslamic Banking bernombor 211-002- 20 009048-1; 211-202- 201188-0 (AmPrivate Banking – 1MY), 211-202-201189-8 (AmPrivate Banking – Y1MY) dan 211-202-201190-6 (AmPrivate Banking – MY).

“Ini bermakna pihak bank perlu mendapatkan pengesahan daripada Nik Faisal bagi mana-mana cek sekiranya nilai transaksi melebihi RM250,000.

“Beliau juga membenarkan Nik Faisal memberi arahan bertulis kepada bank untuk mengeluarkan deraf bank atas nama kesemua akaun dan memberi arahan kepada Perbendaharaan Kumpulan Ambank bagi tujuan Deposit Perbendaharaan/ Penempatan Pasaran Wang,” katanya.

Menerusi surat itu juga, telah mengesahkan bahawa Najib bertanggungjawab bagi transaksi (akaun) yang dilakukan, seolah-olah ia dikeluarkan oleh beliau sendiri.

Mahkamah sebelum ini diberitahu melalui keterangan Pengurus Bahagian Unit Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) Ambank (M) Berhad, Wedani Senen, akaun Najib 2112022011880 atas kod nama AmPrivate Banking-1MY menerima £750,000 daripada Blackrock Commodities (Global) Limited pada 23 Jun 2014.

Akaun sama menerima wang daripada Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) melalui lima transaksi iaitu £5,750,000 (19 Oktober 2014); £694,343.62 dan £2,216.01 (24 November 2014);£995,000.00 (5 Disember 2014) dan £1.26 juta (18 Disember 2014).

Mengikut laporan berita sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat(DoJ) mengenalpasti Vista Equity International Partners dan Blackrock ialah 'shell company' (syarikat yang hanya wujud di atas kertas) dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan, iaitu sekutu amanah ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. — Sinar Harian