Kes 1MDB Najib: Saksi tak pasti surat sokongan pinjaman RM1 bilion dibentang di Parlimen

Bernama
September 5, 2022 07:41 MYT
Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau tidak pasti sama ada proses pengeluaran surat sokongan bagi membuat pinjaman RM1 bilion yang dikemukakan oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Kementerian Kewangan dibentangkan di Parlimen atau tidak.
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, berkata kebiasaannya, pihak Kementerian Kewangan akan membuat usaha wajar dan melalui proses yang sepatutnya iaitu pembentangan mengenai pinjaman di Kabinet dan seterusnya di Parlimen bagi mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, Siti Zauyah berkata bagi 1MDB yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), beliau tidak pasti sama ada proses pembentangan di Parlimen mengenai pinjaman berkenaan dilakukan atau tidak.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.
Wan Aizuddin kemudian merujuk saksi pendakwaan ke-26 itu kepada pernyataan saksinya yang menyatakan bahawa Kementerian Kewangan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai 1MDB untuk melakukan usaha wajar, tetapi surat sokongan itu tetap diproses berdasarkan arahan Najib, yang juga Menteri Kewangan ketika itu.
Wan Aizuddin: Boleh Datuk terangkan bagaimana arahan oleh Datuk Seri Najib ini diberikan? Adakah ia secara formal atau tidak formal?
Siti Zauyah: Saya tidak ingat.
Wan Aizuddin: Jadi apa asas kenyataan Datuk? Mesti ada peristiwa atau dokumen tertentu yang membuat Datuk membuat kenyataan ini.
Saksi tidak menjawab soalan itu.
Perbicaraan 1MDB | Najib hadir prosiding sehari selepas dimasukkan ke hospital
Wan Aizuddin seterusnya merujuk kepada penambahan yang dibuat oleh Siti Zauyah dalam pernyataan saksinya, iaitu beliau menyatakan telah memohon untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1MDB daripada Pejabat Perdana Menteri, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.
Saksi bagaimanapun menafikan membuat kenyataan itu dan berkata beliau hanya memohon dokumen daripada 1MDB dan bukan daripada Pejabat Perdana Menteri.
"Saya memang ada berurusan dengan Pejabat Perdana Menteri tetapi bukan secara langsung. Saya hanya berhubung dengan arwah Datuk Azlin Alias (bekas Setiausaha Sulit Khas Najib)," katanya.
Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.
-- BERNAMA
#kes 1MDB #Najib Razak #Siti Zauyah Mohd Desa #kes rasuah Najib #kes pengubahan wang haram Najib