Kes 1MDB: Pertikai pembebasan Najib satu penghinaan kepada mahkamah - Fahmi

Hilmi Malik
Mac 3, 2023 08:53 MYT
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas pertuduhan meminda laporan audit 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), merupakan satu penghinaan terhadap mahkamah.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menegaskan, kerajaan juga telah beberapa kali mengulangi pendirian bahawa tidak akan mencampuri sebarang urusan dan keputusan mahkamah.
"Ini proses mahkamah, kita hormat keputusan itu, Perdana Menteri berkali-kali mengulangi pendirian bahawa beliau dan kerajaan tidak mencampuri urusan mahkamah.
"Kalau ada pihak berbuat demikian, itu satu penghinaan terhadap mahkamah, kena hormat keputusan mahkamah.
"Ada prosesnya kita ikuti dan hormati proses tersebut," katanya dalam sidang media di kementeriannya pada Jumaat.
Keputusan yang dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri itu telah mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial pada Jumaat.
Najib dan bekas Ketua Pengarah Ekskutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat 1MDB.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie bagi pertuduhan itu.
Sebelum ini, Najib, 70, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
#laporan audit 1mdb #Najib dilepas dan dibebaskan #Fahmi Fadzil #Arul Kanda Kandasamy