KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, bahawa beliau tidak bersepakat dengan pihak pendakwaan untuk menjadi saksi bagi kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar terlepas daripada kes sivil.

Mohd Hazem Abd Rahman berkata demikian semasa prosiding kes tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama membabitkan Najib.

Mohd Hazem, 49, berkata, beliau sedar namanya termasuk dalam senarai yang akan didakwa bagi kes sivil oleh 1MDB dan anak-anak syarikatnya.

Untuk rekod, pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd memfailkan 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Saman itu difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti, dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku.

“Saya tunggu saman itu dihantar tapi ia tidak pernah tiba dan saya hanya mengetahui nama saya digugurkan daripada pendakwaan selepas membaca berita,” katanya.

Ketika ditanya oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beliau mengaku mengetahui saman turut digugurkan terhadap enam ahli senior yang lain.

Mereka ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin; Tan Sri Ismee Ismail; Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram; bekas CEO, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Azmi Tahir.

Muhammad Shafee: Nama anda juga dikeluarkan?

Mohd Hazem: Ya

Muhammad Shafee: Mesti anda rasa seronok?

Mohd Hazem: Semestinya.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan, senarai nama yang tinggal sekadar ‘ikan bilis’ kerana mereka sudah melarikan diri, tidak ditemui hingga ke hari ini. Saya cadangkan, anda diberi jaminan, nama anda akan dikeluarkan daripada senarai saman itu jika anda jadi saksi.

Mohd Hazem: Tidak, saya tak setuju.

Muhammad Shafee: Jadi nama yang masih disaman ialah lapan individu iaitu Najib, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Radhi Mohamad, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil. Nama anda dikeluarkan tanpa melakukan apa-apa.

Mohd Hazem: Ya.

Muhammad Shafee: Walaupun anda tidak melakukan apa-apa, nama anda secara ajaib telah dikeluarkan?

Mohd Hazem: Ya, saya tidak buat apa-apa.

Dalam pada itu, Mohd Hazem turut ditanya mengenai Terence dan Jasmine Loo sama ada mereka setia terhadap syarikat atau ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Beliau berkata, dua individu itu merupakan orang kuat Jho Low dan semua kakitangan syarikat mengetahui hakikat tersebut.

Muhammad Shafee: Anda cakap kesetiaan mereka pada Jho Low bukan syarikat, tetapi memandangkan mereka berdua adalah kakitangan bawah anda, apa yang anda lakukan untuk elak perkara tersebut.

Mohd Hazem: Saya tak buat apa-apa.

Muhammad Shafee: Tapi, anda CEO, bijak pandai, sekurang-kurangnya maklum kepada ahli lembaga pengarah.

Mohd Hazem: Saya maklum kepada beberapa orang antaranya Che Lodin Wok. Jika tidak pun, mereka dapat agak Terence dan Jasmine Loo memang orang kuat Jho Low.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: 'Saya jadi saksi bukan sebab mahu gugur kes sivil'