[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Kes 3 ditembak mati: Laporan siasatan akan diserahkan kepada AGC hari ini - PM

Seth Akmal 16/12/2025 | 03:50 MYT
Anwar sahkan laporan siasatan kematian tiga individu di Melaka dikemukakan kepada Peguam Negara. - Gambar/ Astro AWANI.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa laporan siasatan berhubung kematian tiga individu yang ditembak mati oleh polis di Melaka telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini untuk tindakan lanjut.


Ringkasan AI
  • Laporan siasatan tiga individu ditembak mati di Melaka telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Perdana Menteri menekankan bahawa siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilakukan secara telus tanpa sebarang pengecualian, dengan jaminan dari Ketua Polis Negara dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.
  • Perdana Menteri juga menegur masyarakat agar tidak mengabaikan tindakan penjenayah terhadap anggota PDRM serta menafikan kes kematian dalam tahanan melibatkan satu kaum sahaja, dengan 57 kes dilaporkan sejak penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).


Beliau menegaskan bahawa siasatan rapi dan telus telah dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa sebarang tolak ansur.

“Saya dapat jaminan daripada Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM (Datuk M. Kumar) bahawa siasatan rapi dan telus, tidak ada tolak ansur.

“Laporan telah mereka kemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya semasa menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali di Dewan Negara hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menegaskan masyarakat tidak boleh mengabaikan tindakan penjenayah tegar terhadap pasukan PDRM di sebalik fokus terhadap beberapa insiden salah laku anggota.

Beliau mengambil contoh mengenai beberapa kes jenayah seperti di Perak, Kedah dan Selangor yang meragut nyawa anggota PDRM semasa sedang menjalankan tugas.

“Kita kena bedakan di antara keterlanjuran polis yang tidak boleh kita abaikan, dengan tindakan penjenayah-penjenayah tegar,” katanya.

Menyentuh mengenai kes kematian dalam tahanan, Perdana Menteri turut menafikan bahawa kes tersebut hanya melibatkan satu kaum sahaja.

Sejak penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), sejumlah 57 kes direkodkan, termasuk 25 Melayu, sembilan Cina, empat India, 15 warga asing, dan empat bumiputera Sabah serta Sarawak.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa sekiranya terdapat sebarang salah laku tindakan oleh pihak polis, siasatan rapi tetap akan dijalankan tanpa mengira latar belakang.

#PDRM #Ketua Polis Negara #Perdana Menteri #kes tembak penjenayah